TOKYO, 17 DIS – Penulis terkenal Jepun, Haruki Murakami menerima ijazah kehormat daripada alma maternya, Universiti Waseda, hari ini dan berseloroh mengatakan beliau bukan seorang pelajar contoh.
“Rasanya agak pelik menerima anugerah ini, memandangkan saya adalah seorang pelajar yang teruk,” kata Murakami sambil disambut dengan gelak ketawa daripada para jemputan yang hadir di Universiti Waseda.
“Saya sering ponteng kelas dan lupa untuk belajar. Saya hanya buat apa yang saya mahu dan banyak menyusahkan pihak universiti,” kata penulis berusia 75 tahun itu.
Ijazah itu merupakan satu ‘isyarat yang cukup murah hati daripada pihak Waseda,’ kata penulis novel itu ketika berucap di hadapan ratusan peminat dan pelajar Waseda.
Ketika menganugerahkan ijazah kehormat itu, Universiti Waseda, sebuah institusi terkemuka di Tokyo, memuji ‘suasana kosmopolitan’ dalam karya Murakami serta keupayaannya ‘bergerak bebas antara realiti dan dunia luar realiti.’

Penulis Norwegian Wood dan Kafka on the Shore itu terkenal dengan kisah kompleks yang tidak masuk akal dan kesunyian dalam kehidupan moden yang telah diterjemahkan ke dalam kira-kira 50 bahasa.
Sering disebut sebagai calon untuk memenangi Hadiah Nobel, Murakami adalah seorang pemalu dan suka menyendiri dan terkenal dengan sikapnya yang enggan menarik perhatian media.
Pembaca karya beliau sering ditarik ke dalam ‘dunia Murakami,’ di mana katak gergasi mencabar pekerja pejabat dalam pertempuran dan ikan tenggiri turun dari langit.
Novel penuh pertama beliau dalam tempoh enam tahun, The City and Its Uncertain Walls, diterbitkan di Jepun tahun lalu, manakala terjemahan bahasa Inggerisnya dilancarkan pada November.
Dalam ucapan ringkas yang bersifat merendah diri, Murakami berkata beliau ‘tidak memperoleh apa-apa’ daripada enam ijazah kehormatnya sebelum ini – semuanya dianugerahkan oleh universiti luar negara – dengan menyifatkannya sebagai ‘tidak berguna.’
Namun ia tidak bermakna dia tidak bersyukur dengan alma maternya. – AFP