Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penumpang cuba buka pintu pesawat didakwa

    BANGKOK, 9 FEB – Polis Thailand hari ini berkata mereka telah mendakwa seorang warga Kanada yang cuba membuka pintu pesawat ketika ia sedang menunggu untuk berlepas setelah mengatakan seseorang cuba hendak membunuhnya.

    Lelaki berusia 40 tahun itu cuba membuka pintu keluar kecemasan dalam penerbangan Thai Airways ke Bangkok dari bandar bahagian utara, Chiang Mai pada Rabu.

    Kejadian itu menyebabkan kelewatan kepada lebih daripada puluhan penerbangan, menurut polis.

    “Dia didakwa dengan dua pertuduhan iaitu menyebabkan kecederaan kepada orang lain di dalam pesawat dan tidak mengikut arahan kakitangan pesawat,” kata Nattawut Noisorn, Timbalan Ketua Penyiasatan di Balai Polis Phu Ping Ratchaniwet, kepada AFP.

    “Dia memberitahu kami bahawa dia membuka pintu kerana seseorang dalam pesawat cuba membunuhnya. Dia sangat panik.”

    Seorang warga Kanada telah didakwa selepas cuba membuka pintu pesawat ketika ia sedang menunggu untuk berlepas dengan mengatakan ada individu mahu membunuhnya. – ANN/The Star

    Polis sedang menyiasat sama ada dia telah menggunakan sebarang bahan terlarang sebelum menaiki pesawat atau mengalami sebarang penyakit mental.

    Watcharapon Pethsurp, yang berada di dalam penerbangan, menggambarkan drama itu.

    “Saya duduk di belakang pesawat dan saya mendengar angin kencang dan jeritan dari bahagian depan. Keadaan menjadi huru-hara,” katanya kepada AFP.

    “Lelaki itu menjerit mengatakan seorang lelaki berpakaian hitam cuba membunuhnya.”

    Selepas kejadian itu, Thai Airways mengeluarkan kenyataan yang mengatakan penerbangan itu berlepas tiga jam lewat daripada masa yang dijadualkan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda