LONDON, 3 MEI – Penumpang-penumpang Eurostar akan diwajibkan memakai penutup mulut dan hidung bermula minggu depan sebagai langkah untuk mengurangkan jangkitan koronavirus, kata syarikat tersebut kelmarin.
“Bermula 4 Mei, penumpang-penumpang mesti memakai penutup mulut dan hidung atau pelindung muka di stesen-stesen kami selaras dengan garis panduan yang diumumkan oleh kerajaan Perancis dan Belgium,” kata syarikat itu di laman webnya.
Eurostar yang berpangkalan di Britain telah mengurangkan jadual perjalanan sejak penularan, disebabkan sekatan perjalanan, peningkatan pemeriksaan di sempadan dan kurangnya permintaan.
Ia memberi amaran kepada penumpang di kereta api rentas sempadan di antara London, Paris dan Brussels bahawa sesiapa yang tidak menutup mulut dan hidung mereka mungkin tidak akan dibenarkan masuk ke dalam kereta api atau didenda oleh pihak berkuasa Perancis dan Belgium.
Ia adalah beberapa siri langkah yang diperkenalkan oleh kerajaan kedua-kedua buah negara yang sedang melonggarkan sekatan perintah berkurung.
Kemudahan katering di dalam kereta api dan stesen telah ditutup, dan bantuan khas telah digantung kerana peraturan penjarakan sosial, kata syarikat itu di laman webnya. Ia turut menasihatkan penumpang bahawa Perancis sedang menyekat perjalanan bagi warganegara EU dari kawasan tengah Eropah yang pulang ke kediaman utama mereka.
United Kingdom dan penduduk bukan EU dengan permit pemastautin di negara EU, termasuk pekerja-pekerja yang penting, dibenarkan untuk membuat perjalanan, tambahnya.
Tetapi semua penumpang memerlukan dokumen tambahan di Perancis untuk menunjukkan perjalanan mereka adalah penting. – AFP