Tuesday, April 29, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penumpang MS Artania kagum dengan keindahan Brunei

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Negara Brunei Darussalam mengalu-alukan ketibaan kapal pelayaran, MS Artania, yang membuat pelayaran pertamanya ke Negara Brunei Darussalam dan berlabuh di Pelabuhan Muara, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), di sini, menyatakan ketibaan MS Artania membawa seramai 573 orang penumpang dan 511 orang anak kapal di mana ia menandakan satu detik yang menarik dalam kalendar pelayaran berkembang negara.

    Pelayaran pertama kapal berkenaan dari Kota Kinabalu, Malaysia, mencerminkan tarikan Negara Brunei Darussalam yang semakin berkembang sebagai persinggahan untuk pengembara antarabangsa.

    Berikutan dengan lawatan ringkasnya di Negara Brunei Darussalam, MS Artania dijadualkan untuk berlepas ke Pulau Tioman, Malaysia.

    Para penumpang kapal berkenaan berpeluang untuk menikmati lawatan berpandu mengunjungi Kampong Ayer di mana mereka melihat dengan lebih dekat gaya hidup unik penduduknya dan meneruskan perjalanan melalui kawasan hutan bakau yang subur.

    Penumpang kapal MS Artania yang membuat lawatan ke tempat-tempat menarik di Negara Brunei Darussalam.- GAMBAR SERAHAN JABATAN KEMAJUAN PELANCONGAN
    GAMBAR SERAHAN JABATAN KEMAJUAN PELANCONGAN
    GAMBAR SERAHAN JABATAN KEMAJUAN PELANCONGAN

    Lawatan itu juga mengetengahkan kunjung ke mercu tanda signifikan negara termasuk Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dan Istana Nurul Iman. Sementara itu, di Pusat Kapal Pelayaran, para pelawat berpeluang untuk mendapatkan pilihan cenderamata yang tersendiri termasuk baju batik, besi berani, rantai kunci dan kraf tangan unik, di mana kesemuanya mencerminkan budaya kaya Brunei serta menawarkan peluang untuk menyokong komuniti artisan tempatan.

    Salah seorang penumpang, Astrid Fassler dari Jerman menyatakan bahawa lawatannya ke Brunei merupakan satu pengalaman yang sukar dilupakan dan merakamkan minatnya untuk kembali serta keterujaan terhadap kemesraan layanan penduduknya, budaya dan keindahan Brunei.

    Seorang lagi penumpang dari Jerman, Nico juga mengongsikan pengalaman positifnya mengenai Brunei terutama keindahan lawatan ke hutan bakau dan kebersihan tarikan utama bandar.

    Sementara itu, penumpang dari Bavaria, Hanenora amat teruja melawat ke tarikan budaya Brunei termasuk Muzium Alat Kebesaran Diraja dan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.

    Pelayaran sulung MS Artania pada 24 April lalu, menandakan lawatan kapal persiaran kesembilan ke Negara Brunei Darussalam, mengukuhkan lagi peningkatannya sebagai hab pelayaran utama di Asia Tenggara.

    Dengan bakal ketibaan kapal MV Mediterranea pada 30 April nanti, Negara Brunei Darussalam terus menarik lebih ramai pelancongan antarabangsa, mengetengahkan komitmennya kepada menawarkan pengalaman luar biasa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda