Monday, March 3, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penumpang MS Riviera teroka tarikan negara

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Sebagai tanda langkah positif ke hadapan bagi pelancongan persiaran Negara Brunei Darussalam, kapal persiaran mewah antarabangsa, MS Riviera berlabuh di Negara Brunei Darussalam pada 26 Februari lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, di sini, kapal berkenaan yang tiba di Brunei dari Kota Kinabalu, Sabah membawa kira-kira 1,137 orang penumpang dan 753 orang anak kapal sebelum meneruskan pelayaran ke Semarang Jawa, Indonesia.

    Semasa berada di Brunei, tetamu dari MS Riviera berpeluang meneroka tarikan terkenal negara termasuk Muzium Alat Kebesaran Diraja, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Istana Nurul Iman dan Kampong Ayer.

    Lawatan itu menawarkan pengalaman yang mengasyikkan kepada tetamu tentang keindahan alam semula jadi dan kekayaan warisan kebudayaan Brunei Darussalam.

    Di Pusat Kapal Persiaran, para penumpang berpeluang meneroka pelbagai pilihan cenderamata asli Brunei, untuk dibawa pulang sebagai kenangan bermakna lawatan mereka.

    Ketibaan para pelancong yang mengikuti pelayaran tersebut. – GAMBAR SERAHAN JABATAN KEMAJUAN PELANCONGAN
    Para penumpang berpeluang meneroka pelbagai pilihan cenderamata asli Brunei untuk dibawa pulang. – GAMBAR SERAHAN JABATAN KEMAJUAN PELANCONGAN

    Pelawat-pelawat ke Negara Brunei Darussalam berkenaan merakamkan perasaan amat kagum dengan layanan mesra dan kekayaan warisan negara. Salah seorang pelancong dari Vancouver, Kanada, Penny dan Graham mengongsikan pengalaman yang menggembirakan di mana mereka menikmati suasana yang santai dengan teh serta juadah kuih tempatan.

    Mereka merakamkan perasaan teruja dengan keindahan negara dan sikap peramah dan baik hati rakyatnya, menambahkan lagi tarikan Brunei sebagai sebuah negara yang aman dan mesra.

    Kehadiran MS Riviera menekankan tarikan Brunei yang semakin berkembang sebagai sebuah destinasi baharu dalam pasaran persiaran global.

    Sebagai kapal persiaran kelima yang berlabuh di Negara Brunei Darussalam sejak Januari 2025, lawatan itu mencerminkan minat yang semakin meningkat dalam menjadikan Brunei sebagai persinggahan utama dalam jadual perjalanan kapal persiaran antarabangsa.

    Jabatan Kemajuan Pelancongan berhasrat mengekalkan momentum positif berkenaan dengan jadual lawatan seterusnya oleh Crystal Symphony hari ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda