Monday, July 28, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penumpang penerbangan AS dipindahkan akibat kebakaran sistem brek

    WASHINGTON, 27 JULAI – Penumpang dalam sebuah penerbangan domestik di Amerika Syarikat (AS) terpaksa berpindah ke landasan kecemasan akibat berlaku kebakaran pada sistem brek pesawat sejurus sebelum ia berlepas dari Denver, menurut syarikat penerbangan itu.
     
    Penerbangan American Airlines 3023 yang dijadualkan berlepas ke Miami kelmarin mengalami ‘masalah mekanikal’ ketika sedang memecut di landasan untuk berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Denver, menurut kenyataan kepada AFP. Kesemua 173 penumpang dan enam anak kapal berjaya keluar dari pesawat dengan selamat.
     
    Seorang penumpang dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke hospital untuk penilaian lanjut, kata American Airlines.
     
    Kebakaran pada sistem brek berpunca daripada tayar meletup dan proses nyah pecutan pesawat ketika membrek, namun telah berjaya dipadamkan oleh pasukan bomba bandar.
     
    Rakaman yang tular di media sosial dan diterbitkan oleh beberapa agensi berita AS menunjukkan suasana cemas ketika penumpang meluncur keluar melalui gelongsor kecemasan, manakala asap tebal keluar daripada bahagian bawah pesawat. Seorang lelaki dilihat memeluk kanak-kanak sambil tergesa-gesa meluncur, sebelum terjatuh sebaik mencecah tanah.
     
    Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kru pesawat Boeing 737 MAX 8 melaporkan kemungkinan insiden pada gear pendaratan semasa fasa berlepas pada kira-kira jam 2:45 petang kelmarin.
     
    FAA kini sedang menjalankan siasatan terhadap insiden tersebut. – AFP
     
    Sebuah pesawat American Airlines berlepas ke landasan di Miami International AirPort (MIA) pada 24 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda