LONDON, 12 SEPT – Penumpang dan anak kapal British Airways (BA) yang dijadikan tebusan di Kuwait pada 1990 kini bersiap sedia mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan United Kingdom (UK) dan syarikat penerbangan itu, lapor agensi berita Jerman (dpa) memetik firma guaman, McCue Jury and Partners.
Firma guaman itu berkata ia mewakili mangsa yang ingin memastikan ‘kebenaran didedahkan sepenuhnya’ dan ‘pampasan dibayar sewajarnya’ kerana membenarkan penerbangan itu mendarat. Penerbangan 149 British Airways mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait pada awal pagi 2 Ogos 1990, ketika angkatan bersenjata Iraq sedang melakukan serangan.
Lebih 300 penumpang telah ditahan oleh tentera Iraq, menandakan permulaan pahit yang berlarutan hampir lima bulan kerana mereka digunakan oleh Saddam Hussein sebagai ‘perisai manusia’ melawan serangan barat.
Kerajaan UK menegaskan ‘tanggungjawab’ mengenai apa yang telah berlaku ‘terletak sepenuhnya’ pada pihak berkuasa Iraq pada masa itu, manakala BA mendakwa pihaknya tidak diberi amaran mengenai pencerobohan itu.
Dokumen yang dikeluarkan pada November 2021 menunjukkan bahawa Pejabat Luar UK telah diberi amaran oleh duta Britain di Kuwait bahawa tentera Iraq telah menyeberangi sempadan sejam sebelum penerbangan itu membuat pendaratan. – Bernama