BANGKOK, 4 APRIL – Penumpang yang panik terjun ke laut untuk menyelamatkan diri apabila berlaku kebakaran di dalam feri di Teluk Thailand, awal hari ini, namun kesemua 108 penumpang dalam feri itu selamat.
Feri yang dalam perjalanan dari wilayah Surat Thani hampir tiba di Koh Tao, destinasi pelancongan popular di luar pantai Thai, apabila salah seorang penumpang tiba-tiba terdengar bunyi benda terbakar dan terhidu asap.
Maitree Promjampa berkata, dia melihat asap berkepul-kepul dan api mula marak kurang lima minit kemudian, dan selepas itu orang ramai mula menjerit dan penggera berbunyi.
“Kami hampir tidak boleh mendapatkan jaket penyelamat tepat pada masanya,” katanya kepada The Associated Press. “Ia huru-hara. Orang ramai menangis. Saya juga sebak.”
Maitree, seorang penduduk Surat Thani yang sering pergi ke Koh Tao untuk bekerja, berkata beberapa bot datang menyelamatkan mereka kira-kira 20 minit selepas itu, tetapi bot itu tidak dapat mendekati feri kerana takut letupan. Penumpang terpaksa terjun ke laut untuk diselamatkan.
“Semua orang terpaksa menyelamatkan diri mereka sendiri,” katanya lagi.
Pegawai bertugas berkata kebakaran itu telah berjaya dikawal. Ia bermula di dalam enjin, tetapi puncanya masih disiasat. Feri itu juga tidak tenggelam.
Feri dari Surat Thani itu membawa penumpang dan pelancong ke Koh Tao yang terletak kira-kira 100 kilometer dari pantai. Seramai 97 daripada 108 orang di dalam feri itu adalah penumpang. Semua orang berjaya diselamatkan menurut siaran jabatan perhubungan awam wilayah itu. – AP


