SYDNEY, 6 MAC – Penumpang di Australia berjaya menumpaskan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang bersenjatakan senapang patah dan peluru ketika dia cuba menaiki pesawat berhampiran Melbourne selepas menyelinap masuk ke lapangan terbang, hari ini.
Remaja itu memasuki Lapangan Terbang Avalon melalui lubang pada pagar keselamatan sebelum menuju ke sebuah pesawat yang membawa kira-kira 160 penumpang, kata Superintenden Polis Victoria, Michael Reid.
“Sebaik sahaja dia menghampiri pesawat, dia memanjat tangga hadapan pesawat,” katanya.
“Ketika itu, penumpang menyedari lelaki berkenaan membawa senjata api. Tiga orang penumpang, sekurang-kurangnya, bertindak menumpaskannya.”
Tiada kecederaan dilaporkan dan polis segera menahan remaja itu.

Reid berkata remaja tersebut memiliki senapang patah dan peluru yang ditemui bersama senjata api berkenaan.
Pesawat itu dijadualkan terbang ke Sydney dalam penerbangan yang dikendalikan oleh Jetstar, anak syarikat bajet Qantas.
Polis sedang berhubung dengan penyiasat antikeganasan, namun terlalu awal untuk menentukan motif kejadian, katanya.
“Tidak syak lagi insiden ini amat menakutkan bagi penumpang,” ujar Reid.
“Polis Victoria benar-benar memuji keberanian penumpang yang berjaya menumpaskan lelaki itu.”
Remaja itu dipercayai bertindak sendirian dalam insiden pada waktu petang tersebut dan tidak mempunyai rekod jenayah, tambahnya. – AFP