HUNZA – Di sebuah kawasan lembah terpencil di Pakistan yang mana dikelilingi dengan puncak bukit yang bersalji kelihatan sekumpulan penduduk kampung sedang berkumpul bagi menyaksikan satu permainan tradisi kampung berkenaan.
Permainan itu dikenali sebagai Buzkashi iaitu sejenis sukan ekuestrian kuno yang memaparkan satu teknik sukan kejantanan kaum lelaki dengan menunggang kuda namun apa yang menyedihkan, jenis sukan ini sedang bergelut untuk terus aktif dan hidup untuk generasi yang seterusnya.
Seorang guru sekolah yang telah bersara dikenali sebagai Baksh Dil Khan telah ikut serta dalam permainan itu. Baksh menaiki kuda miliknya sambil diiringi oleh isterinya dan ketika itu, isteri Baksh menyiramkan secubit tepung untuk haiwan tersebut untuk meraih nasib yang baik kerana bimbang keadaan salji yang menyelimuti Lembah Chapursan yang boleh bila-bila sahaja runtuh dan mencederakan suami dan kudanya. Kudanya dinamakan ‘The Burly’ iaitu sejenis kuda dari golongan ‘Moustached’ dan berusia 52 tahun.
Baksh merupakan salah seorang pemain di rantau berkenaan setelah beberapa pemain telah berjaya dikumpulkan iaitu kira-kira 2,000 orang yang berasal berdekatan dengan Hunza dan daerah-daerah yang berkongsi sempadan dengan Afghanistan di timur dan utara Pakistan.
Seekor kambing hitam di lepaskan terlebih dahulu bagi membolehkan setiap pemain untuk mencari dan memeriksa keberadaan kambing tersebut. Namun sesetengah pemain telah mengambil kambing itu lebih awal sebelum kelulusan untuk mengambil kambing itu diberikan malah para pemain sangat agresif sehinggakan kembali ke lokasi pangkalan dengan membawa badan kambing tanpa kepala dan diletakkan di dalam satu bulatan di tengah-tengah padang bagi membuktikan akan ketahanan dan kejantanan mereka.



Namun berbalik kepada situasi awal permainan tradisi ini, para pemain disarankan untuk mengambil kembali kambing tersebut kerana badan kambing berkenaan adalah hadiah penunggang kuda yang ikut serta dalam permainan tersebut yang mana sebenarnya terdiri daripada satu siri pusingan di mana permainan ini bertujuan untuk membawa badan kambing itu kembali ke dalam bulatan yang telah ditetapkan oleh pihak penjaga permainan.
Kecekalan dan ketekunan
Objektif utama permainan ini adalah kecekalan dan ketekunan setiap pemain terhadap cabaran bagaimana untuk membawa kembali kambing tersebut ke dalam bulatan. Manakala para penonton pula memberikan mereka semangat dengan berteriak ‘Halal’ dan mereka seakan-akan percaya bahawa membawa kembali kambing itu ke dalam tanda bulatan seperti menjaring gol,
Selain itu juga, Buzkashi ialah sejenis permainan untuk memperlihatkan bagaimana para pemain boleh menunjukkan kemahiran ekuestrian dan kejantanan malah selain dapat seekor kambing, para pemain juga akan memperolehi hadiah-hadiah dan juga wang tunai. Baksh telah memenangi hadiah sebanyak PKR400 (AS$40), tiga pek rokok dan telefon bimbit. “Sebenarnya, saya hampir patah leher untuk memenangi hadiah-hadiah ini walaupun saya bukanlah seorang penghisap rokok malah saya telah terjatuh sebanyak dua kali ketiga ikut serta dalam permainan itu,” kata Baksh sambil berjenaka tentang keadaan dirinya yang telah jatuh sebanyak dua kali ketika menunggang kudanya.
Hubungan yang berkurangan
Tidak seperti negara jiran mereka, Afghanistan atau Asia Tengah, sukan tersebut walaupun masih kekal dipraktikkan namun ia jarang diadakan berbanding di Pakistan.
Di Pakistan, sukan tersebut tidak dipraktikan dan jarang dilakukan membuatkan Baksh merasa bimbang, jika sukan tradisi ini akan lenyap dalam warisan budaya mereka. “Saya sudah mendidik dan mengajar generasi-generasi baru di kampung kami, namun mereka seperti tidak menunjukkan minat yang dalam terhadap sukan tersebut dan perkara ini amat meresahkan diri saya. Hanya sebilangan kecil sahaja yang berminat dalam permainan sukan ini,” tambah Baksh lagi kepada wartawan AFP.
“Kini, untuk melengkapi permainan itu dengan bilangan kuda yang mencukupi juga agak sedikit mencabar kerana kebanyakan penduduk tempatan telah menjual kuda-kuda mereka untuk membeli keselesaan moden,” kata Taj Muhammad yang berusia 38 tahun kepada wartawan AFP. “Buzkashi hanya akan menjadi satu catatan sejarah peristiwa lalu, cerita untuk anak-anak kita,” tambah Taj lagi kepada pihak media.
Namun bagi Aziz Ali Dad, seorang ahli antropologi budaya berkata bahawa penurunan sukan tersebut adalah tanda hubungan budaya yang semakin berkurangan khususnya di Pakistan dengan Asia Tengah di mana permainan itu berasal.
Di kawasan Hunza, lembah ini telah lama menjadi tulang belakang rakyat Wakhi yang masyarakat ini juga terdapat di Afghanistan, Tajikistan, Xinjiang di China namun Aziz Ali berkata bahawa kekurangan hubungan antara mereka pada hari ini bermakna Buzkahshi adalah ‘di ambang kepupusan di Pakistan’.
Baksh, sebagai salah seorang masyarakat di kampung tersebut berjanji untuk mempertahankan sukan itu walaupun ada sesetengah masyarakatnya sudah menyerah kalah.
“Saya akan terus bermain walaupun saya sebagai pemain terakhir, permainan sekurang-kurangnya perlu terus hidup sehingga aku sudah mati,” tambah Baksh mengakhiri temu ramah bersama media. – AFP