Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 APRIL – Seorang penunggang motosikal cedera dan masih dalam rawatan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), setelah motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam insiden kemalangan bersama sebuah kereta di kawasan Jalan Tutong Kampung Kilanas, Daerah Brunei dan Muara, kelmarin.
Menurut Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), panggilan kecemasan mengenai kejadian itu telah diterima sekitar 9:25 pagi dan anggota dari Balai Polis Sengkurong segera dikerahkan ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan.
Setibanya di tempat kejadian, anggota polis mendapati sebuah kereta dan sebuah motosikal telah terbakar keseluruhannya.
Dalam kejadian berkenaan, penunggang motosikal tersebut telah mendapat kecederaan, manakala pemandu kenderaan terbabit tidak mendapat kecederaan.
Pada ketika ini, pihak polis masih menjalankan siasatan terperinci bagi mengetahui punca sebenar kejadian.
PPDB menegaskan kepada para pengguna jalan raya agar sentiasa peka akan had kelajuan yang dipandu dan sentiasa fokus dan menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap jalan raya dan kawasan persekitaran.


