BANGKOK, 31 Dis – Seorang penunggang motosikal berkuasa besar warga Malaysia maut apabila motosikalnya merempuh tiang lampu di tepi jalan semasa berkonvoi dengan lima buah motosikal lagi di daerah Khunyuam di Mae Hong Son, utara Thailand pada Sabtu.
Ketua Polis Khunyuam Kol Thanadet Prasarnseang berkata penunggang rakyat Malaysia yang terbunuh dalam kemalangan pada 4:30 petang (waktu tempatan) itu dikenal pasti sebagai Anthony Dass Pitchai Matu, 55, bagaimanapun tempat asalnya di Malaysia masih belum diketahui.
“Beliau gagal mengawal motosikalnya selepas melanggar reflektor lampu jalan sebelum merempuh tiang lampu,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini, dan menambah mangsa dikejarkan ke hospital terdekat tetapi meninggal dunia akibat beberapa kecederaan parah.
Mayatnya dihantar ke Hospital Nakornping, Chiangmai untuk dibedah siasat. Ketua polis bagaimanapun tidak pasti bila mayat itu akan dihantar pulang ke Malaysia.
Menurut Thanadet, mangsa bersama lima lagi penunggang motosikal berkuasa tinggi warga Malaysia ketika kemalangan maut itu berlaku.
Berdasarkan rekod imigresen, rakyat Malaysia itu memasuki Thailand menerusi pusat pemeriksaan Sadao pada 24 Disember dan sedang dalam perjalanan pulang ke Malaysia apabila kemalangan itu berlaku. – Bernama