Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JUN – Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam satu kemalangan membabitkan sebuah lori pada kejadian yang berlaku di kawasan Telisai menghala Kuala Belait KM 40.2, kelmarin.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam kenyataannya mengesahkan bahawa mangsa merupakan seorang warganegara Malaysia.
Balai Polis Tutong, PPDB telah menerima panggilan kecemasan melalui talian kecemasan 993 sekitar jam 8:30 pagi kelmarin berhubung satu kejadian kemalangan jalan raya.
Sejurus maklumat diterima, pihak polis segera ke tempat kejadian dan anggota paramedik bertugas yang tiba membuat pemeriksaan dan mengesahkan bahawa penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala, pemandu lori tidak mengalami kecederaan dan dilepaskan dengan ikatan jamin.
Siasatan masih lagi dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan.
Oleh yang demikian, dipohonkan kepada orang ramai dan saksi yang telah menyaksikan insiden kemalangan tersebut untuk tampil ke mana-mana balai polis atau menghubungi talian kecemasan polis 993 bagi membantu siasatan.
Di kesempatan ini, PPDB ingin menasihati kepada pengguna-pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati semasa memandu dan menitikberatkan aspek-aspek keselamatan semasa berada di jalan raya.
Para pengguna jalan raya juga dinasihatkan untuk tidak memandu laju melebihi had yang dibenarkan dan hendaklah sentiasa memakai tali pinggang keledar bagi tujuan keselamatan serta mengurangkan impak kecederaan jika terlibat dengan sebarang kemalangan.