KAHERAH – Sekumpulan wanita Mesir menunggang motosikal melalui lebuh raya di ibu kota Kaherah untuk menggalakkan lebih ramai wanita untuk menunggang kenderaan dua roda itu.
Semasa acara satu hari itu, wanita dari pelbagai lapisan umur menunggang motosikal dan skuter mereka sejauh kira-kira 30km di lebuh raya Kaherah-Suez untuk menyampaikan mesej yang wanita boleh menunggang motosikal sama seperti golongan lelaki.
“Acara ini dianjurkan untuk mengajak lebih ramai penunggang motosikal wanita untuk turut serta sehingga orang ramai dapat menyaksikan kami boleh menunggang motosikal sama seperti lelaki,” kata Wala Zouhier, penganjur acara dan pemilik akademi latihan motosikal, kepada Xinhua.
“Kami ingin menyatukan kaum wanita melalui persahabatan dan sokongan dengan menunggang motosikal di jalanan,” kata wanita muda itu, yang mengetuai inisiatif untuk menggalakkan wanita menunggang motosikal dan skuter.
Zouhier menjelaskan menunggang motosikal juga dapat mempromosikan pendapat bahawa golongan wanita mempunyai kemampuan mental dan fizikal untuk memiliki dan menunggang motosikal.
“Kami ingin menghentikan tanggapan dan menyokong wanita untuk menunggang motosikal dan skuter sebagai alat pengangkutan,” katanya. “Jumlah penunggang motosikal wanita meningkat dengan pesat sekarang dan lebih ramai wanita yang ingin tahu cara menunggang motosikal atau skuter.”
Bagi Heba Ahmed, ahli radiologi yang mendapat lesen skuter baru-baru ini, menunggang secara berkumpulan adalah pengalaman menarik yang diinginkannya.
Dia mendedahkan jarang orang di Mesir melihat wanita menunggang motosikal. Namun, dia mengatakan fenomena penunggang motosikal wanita semakin mendapat tempat di negara Afrika Utara.
“Orang ramai mula menerima wanita menunggang motosikal… pemandu lelaki di jalan raya menunjukkan hormat kepada kami dan saya secara peribadi tidak diganggu ketika menunggang,” kata Ahmed kepada Xinhua ketika dia duduk di skuternya.
“Saya pergi bekerja dengan menunggang skuter saya dan orang tidak merasa terkejut… ini membantu saya tiba tepat pada waktunya apabila berlaku kesesakan lalu lintas. Rakan sekerja saya menyukai idea itu dan beberapa rakan wanita saya serius berfikir untuk belajar menunggang skuter. “
Heba Abdelhamid, seorang pekerja di sebuah syarikat antarabangsa, menggunakan skuternya setiap hari untuk perjalanan ulang-alik.
“Saya menunggang sekitar 40 km setiap hari… ini membantu saya menjimatkan masa kerana saya tinggal di pusat bandar yang sesak,” katanya kepada Xinhua.
Dia mengatakan ahli keluarganya, terutama suaminya, menyambut baik idea itu, sambil menambah bahawa dia juga mendapat sokongan besar daripada pengguna jalan raya.
“Menunggang motosikal atau skuter memberi awda kebebasan dan saya sangat menyukainya,” kata Abdelhamid kepada Xinhua sambil tersenyum. – Xinhua