Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penunggu dobi lama

    Oleh Aqilah HMS –

    Malam tu aku memang sudah tidak ada pilihan. Bekalan air rumah aku tutup, paip pun kering kontang. Aku tahan juga semalam tu, tapi bila masuk malam kedua, baju kerja makin bertimbun. Mahu tidak mahu, aku terpaksa juga keluar cari dobi.

    Masalahnya, dobi yang paling dekat pun 30 minit dari rumah aku. Sebuah dobi dekat dengan kawasan jalan Bukit Gajah, tapi masalahnya kedai tu ada rumah kosong yang dah lama ditinggalkan, jendelanya rosak dan hampir separuh rumah tu dah reput.

    Aku pernah dengar cerita, kononnya rumah tu ada penunggu.

    Jam baru pukul 10 malam. Aku capai bakul baju, turun tangga rumah flat aku dan jalan laju-laju ke dobi tu. Suasana memang sunyi. Angin malam bertiup sejuk.

    Aku masuk, tengok sekeliling. Kosong. Tidak ada orang. Tapi bacaan Al-Quran sedang berkumandang perlahan dari radio kecil atas kaunter.

    Gambar chatgpt

    Aku ambil tempat duduk paling dekat dengan pintu dan cepat-cepat masukkan baju dalam mesin. Aku tekan butang ‘Wash’ dan duduk semula, cuba fokus main telefon.

    Tapi mata aku tidak boleh lepas dari rumah kosong dekat luar cermin. Rumah tu betul-betul bersambung dengan dinding kanan dobi. Gelap, tidak ada satu cahaya pun. Tapi tingkap atas rumah tu, aku sumpah ada kelibat orang berdiri.

    Mula-mula aku cuba abaikan. Aku gosok mata, tengok balik. Tidak ada. Mungkin bayang pokok.

    Tidak lama lepas tu, aku dengar bunyi pelik dari mesin basuh aku. “Tok tok tok” — macam ada benda keras tergolek-golek dalam tu.

    Aku bangun, buka pintu mesin, nak tengok mana tahu ada syiling dalam poket seluar. Tapi yang buat aku hampir campak bakul baju, air dalam drum tu keruh. Macam air lumpur.

    Aku undur ke belakang. “Apa benda ni…?” Seketika, radio kat kaunter tiba-tiba senyap.

    Senyap. Bacaan Al-Quran yang tadi mengalun tenang, terus mati dan dalam diam tu, aku dengar suara perempuan menangis.

    Aku perlahan-lahan pusing semula ke arah mesin dan masa tu aku nampak ‘dia’, seorang perempuan dalam refleksi.

    Dekat dinding kaca mesin basuh, dalam pantulan refleksi dan aku dapat lihat dengan jelas ada seorang perempuan berdiri belakang aku. Rambut panjang melepasi pinggang, kepala tunduk. Tapi tangannya panjang. Terjuntai sampai ke lantai.

    Aku tak boleh bergerak. Badan aku rasa beku. Dalam diam, aku cuba baca apa-apa ayat yang aku ingat.

    “Bismillahirrahmanirrahim… Bismillah…” Perempuan tu tidak bergerak, tapi suara tangisannya makin kuat. Dan tiba-tiba lampu dalam dobi terpadam!

    Aku rasa nafas aku tersekat. Dalam gelap tu, aku dengar bunyi langkah. Perlahan. Satu… satu… makin dekat.

    Aku capai telefon untuk buka lampu suluh. Tapi telefon aku terus mati walaupun bateri masih lagi 40 peratus.

    Dengan baki tenaga yang ada, aku jerit, “Aku datang nak basuh baju! Aku tidak kacau siapa-siapa!” dan masa tu, cahaya lampu menyala semula.

    Radio hidup kembali. Tapi dengan bunyi berdesing macam siaran rosak.

    Aku tidak tunggu mesin habis basuh. Aku terus tekan butang ‘emergency stop’ dan capai baju basah tu dan terus keluar dari dobi tu. Masa aku lari, aku rasa macam ada sesuatu ikut dari belakang. Tapi aku tidak menoleh.

    Esoknya, aku cerita dekat jiran. Dia pandang aku macam sudah agak. Dia kata, “Memang dari dulu dobi tu tidak boleh sunyi. Sebab rumah sebelah tu bukan kosong biasa. Dengar-dengar cerita ada tragedi berlaku dekat situ, sebab tu pemilik rumah tu pindah. Bila jiran baru pindah, macam-macam jadi. Bunyi orang nangis dalam bilik air, kain basah tidak tahu siapa punya.”

    Aku diam. Baru aku faham kenapa pemilik dobi tu pasang bacaan Al-Quran 24 jam. Bukan sebab nak tarik rezeki tapi sebab nak mengelakkan benda lain.

    Esoknya, aku cuba lupakan apa yang jadi. Tapi malam tu, semuanya makin pelik.

    Aku sidai baju basah yang aku bawa balik dari dobi. Tapi bila aku gantung satu helai kemeja kerja — aku nampak ada kesan tapak tangan dekat belakang baju. Tapak tangan kecil. Macam tangan budak.

    Aku gosok dengan air dan sabun tapi kesan tu tak hilang.

    Malam tu aku mimpi berada semula dalam dobi tu, tapi semua mesin rosak. Air keluar melimpah dari bawah mesin dan di tengah kedai, ada budak kecil duduk menghadap dinding. Dia pakai kain basah, rambut panjang tutup muka. Mata dia hitam penuh. Dan dari mulut dia, keluar suara perempuan tua.

    “Air ni tidak suci… darah aku masih ada…”

    Aku terjaga dan jam baru pukul 3 pagi. Ku lihat baju-baju yang aku sidai terjatuh ke lantai, macam ada orang tarik dari penyidai.

    Aku pun cerita kejadian tu dekat kawan aku, rupa-rupanya, bertahun dulu, rumah kosong tu pernah jadi tempat seorang ibu muda tinggal bersendirian. Suaminya tinggalkannya masa dia sedang sarat. Dia melahirkan anak dalam bilik air sendirian dan tidak sempat keluar.

    Dia meninggal dalam keadaan berlumuran darah dan mayatnya dijumpai selepas hampir dua minggu. Orang kampung cuba bersihkan dan azankan rumah tu. Tapi ada bau hanyir yang tidak pernah hilang. Dobi tu pula dibina bersebelahan dinding bilik air rumah tu, sebab tu gangguan paling kuat datang dari bahagian mesin basuh hujung.

    Sekarang, aku sudah tidak mahu basuh baju waktu malam. Kalau rumah tidak ada air, aku tunggu siang esok. Tidak kira berapa banyak kain menimbun.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda