Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penunggu hospital tingkat 12

    Oleh Aqilah HMS – 

    Aku masih ingat betul malam itu. Malam yang mengubah pandangan aku tentang kerja syif malam di hospital yang terletak di kawasan Kampung Pisang ini. Aku sudah hampir setahun bekerja sebagai salah seorang staf teknikal hospital, bukan jururawat, bukan doktor tetapi hanya seorang pekerja penyelenggaraan yang memastikan mesin-mesin dan peralatan hospital berfungsi dengan baik.

    Kerja malam bukan asing bagi aku. Sunyi, sejuk, dan kadang-kadang menakutkan. Tetapi malam itu, lain benar rasanya.

    ARAHAN NAIK TINGKAT 12

    Malam itu, kira-kira jam 11 lebih, aku dipanggil oleh penyelia untuk memeriksa sebuah mesin ventilator yang rosak di tingkat 12. Tingkat itu jarang digunakan sepenuhnya, cuma ada beberapa wad kecil dan juga bilik pejabat. Aku pernah naik ke sana siang hari, tapi malam itu kali pertama buat aku.

    “Bro, kalau kau nak naik tingkat 12, tunggu aku. Jangan naik sendiri,” kata Hafiz, kawan sekerja aku. Dia juga bertugas malam itu, sedang buat kerja di tingkat bawah.

    Aku hanya mengangguk. “Kenapa pula? Ada apa-apa?”

    Gambar Freepik

    Hafiz senyum nipis, tapi aku dapat lihat seolah-olah ada sesuatu yang dia cuba sembunyikan.

    “Bukan apa, cuma bahaya kalau kau seorang-seorang. Tunggu aku. Aku ikut sekali.”

    Aku pun setuju. Tapi beberapa minit kemudian, aku nampak dia sendiri sudah mahu naik tangga ke atas, tanpa menunggu aku. “Eh, cepatnya kau naik?” aku jerit dari jauh, tapi Hafiz langsung tidak menoleh. Dia terus berjalan, hilang di sudut koridor. Aku fikir mungkin dia nak cepat selesaikan kerja.

    SUASANA TINGKAT 12

    Aku pun ikut naik lif. Sampai di tingkat 12, aku terasa suasana berbeza. Senyap. Lampu memang menyala, tapi cahaya putih hospital terasa makin suram. Bau ubat-ubatan bercampur bau karpet lama menusuk hidung.

    Aku nampak hanya ada seorang pesakit saja di wad hujung. Lelaki tua, tidur dengan mesin oksigen di sisinya. Aku tidak berani nak tegur, hanya jalan perlahan ke bilik mesin.

    “Hafiz?” aku cuba panggil. Senyap. Tiada jawapan. Aku pelik, sebab tadi aku jelas nampak dia naik. Tapi langsung tidak ada bayang dia di tingkat itu. Aku buat kerja senyap-senyap.

    Mesin ventilator itu hanya perlu dilaras semula sistemnya.

    Dalam 20 minit aku selesai. Tapi sepanjang aku bekerja, aku rasa diperhatikan. Dari cermin tingkap kecil di pintu, aku ternampak bayangan seolah-olah ada orang lalu. Tapi bila aku keluar, koridor tetap kosong.

    PEJABAT YANG DIKUNCI

    Aku teringat satu perkara. Tingkat 12 ini ada sebuah pejabat kecil, yang biasanya dikunci selepas pukul 5 petang sebab bas staf terakhir berhenti waktu itu. Tapi aku jelas nampak, ada seorang perempuan keluar dari pejabat itu.

    Dia jalan perlahan, tidak menoleh. Pakaian dia macam staf hospital iaitu kemeja putih, skirt hitam. Rambutnya panjang ikal, terurai menutup sebahagian wajah.

    Aku terkaku. Mana ada orang kerja office lagi malam-malam? Pejabat itu sepatutnya kosong.

    Aku cuba yakinkan diri, mungkin dia ada urusan penting. Tapi bila aku tengok semula pintu pejabat, lampu di dalam gelap. Macam tidak ada sesiapa pun.

    Aku rasa tidak sedap hati. Aku jalan cepat ke arah lif, tapi dari hujung mata, aku ternampak sesuatu.

    Di hujung wad, betul-betul di kawasan yang jarang digunakan, ada satu susuk tubuh perempuan berdiri kaku.

    Tinggi, lebih tinggi daripada manusia biasa. Bajunya putih labuh sampai ke lantai. Rambutnya panjang kusut, menutupi hampir keseluruhan wajah.

    Dia tidak bergerak. Tapi aku tahu, dia sedang pandang ke arah aku.

    Bulu roma aku meremang. Suara hati aku menjerit suruh lari, tapi kaki terasa kaku. Aku cuba baca apa saja ayat yang aku hafal, perlahan-lahan undur ke belakang.

    Aku cepat-cepat ke arah lif. Tekan butang. Pintu terbuka, aku masuk. Tapi peliknya, setiap kali aku tekan butang untuk turun, lif itu naik semula. Dari tingkat 12, ke 13, walhal hospital ini cuma ada 12 tingkat saja.

    Aku rasa sesat. Koridor yang aku keluar tidak sama dengan koridor asal. Lampunya lebih malap, cat dindingnya mengelupas. Bau busuk macam bangkai terhidu.

    Aku jalan laju, cuba cari tangga kecemasan. Tapi semakin aku jalan, semakin panjang koridornya. Seolah-olah tidak berkesudahan.

    Tiba-tiba aku dengar suara. Suara perempuan ketawa perlahan. “Hihihihihihi…”

    Aku toleh. Perempuan baju putih itu sudah berdiri betul-betul di tengah koridor, lebih dekat, lebih jelas. Matanya kosong, hitam pekat. Aku terus lari. Jantung macam nak pecah.

    TURUN SEMULA

    Entah bagaimana, aku akhirnya jumpa lif lain. Aku tekan butang turun, pintu terbuka.

    Tanpa fikir panjang, aku masuk. Aku pejam mata sepanjang lif bergerak.

    Bila pintu terbuka, aku lihat Hafiz berdiri di depan lif. Dia terkejut.

    “Eh, kau sudah naik? Aku tunggu kau dari tadi. Kenapa muka kau pucat semacam?” katanya. Aku terkedu. “Kau… kau bukan tadi naik dulu?” Dia geleng kepala. “Aku dari tadi dekat bawah. Mana ada naik.”

    Aku tidak jawab apa-apa. Malam itu aku terus tidak sanggup sambung kerja. Aku cuma duduk di bilik rehat staf, berpeluh dingin, menunggu pagi.

    SELEPAS KEJADIAN

    Beberapa hari selepas kejadian, aku cuba tanyakan pada staf lama tentang tingkat 12.

    Mereka saling berpandangan, sebelum salah seorang jururawat senior berkata,“Jangan naik tingkat 12 seorang-seorang. Tingkat tu memang sudah lama ada cerita.

    “Dulu ada seorang pesakit perempuan, gila meroyan selepas bersalin. Dia gantung diri dekat salah satu wad hujung. Sejak tu, ramai orang nampak dia berkeliaran. Tinggi, rambut panjang dan baju putih.” Aku terus teringat susuk yang aku nampak.

    Sampai sekarang, kalau ada kerja di tingkat 12, aku akan pastikan ada kawan teman. Kalau terpaksa seorang-seorang, aku rela tunggu siang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda