Oleh Aqilah HMS –
Sejak berpindah ke kawasan pinggir bandar, Aina gemar berjoging waktu malam. Suasana tenang, angin sejuk membelai wajah dan jalan lengang memberinya ruang berlari tanpa gangguan. Suaminya sering menegur, “Jangan keluar malam-malam sangat, Aina. Tak elok.” Tapi Aina sekadar tersenyum dan menjawab, “Saya tak pergi jauh. Sekitar taman perumahan saja.”
Namun, sejak seminggu lalu, dia mula perasan sesuatu yang aneh. Ada bau busuk yang kadang-kadang datang tiba-tiba. Seperti bau kain buruk yang lama tak dicuci, bercampur tanah lembap. Pernah sekali dia terdengar bunyi seperti rantai diseret di atas jalan tar. Tapi bila dia berpaling, tiada siapa.
Pada malam Jumaat itu, Aina tetap mahu berjoging meskipun cuaca tampak mendung. Jam sudah 10 malam. Dia menyarung kasut lari dan menyangkut fon telinga. Lagu rancak memekakkan deria pendengarannya, membuatkan dia terlepas bunyi yang biasa menyusul, bunyi seperti orang melompat-lompat perlahan di belakangnya.
Di lorong kecil antara taman permainan dan surau lama, Aina memperlahankan larian. Nafasnya turun naik. Ketika dia berhenti seketika untuk minum dari botol, dia ternampak sesuatu di sisi longkang besar. Seperti kain putih.
Dia menajamkan pandangan. Kain kapan? fikirnya. Ia bergerak… sedikit. Aina kaku. Sebelum sempat dia menarik nafas, satu lembaga melompat keluar dari bayang pokok, terhempas ke tanah dengan bunyi THUMP! yang kuat.

Aina menjerit dan terus berlari tanpa menoleh. Langkahnya laju, lebih laju daripada biasa, tapi bunyi lompat itu tetap kedengaran, semakin hampir… THUMP… THUMP… THUMP…
Lembaga itu hantu pocong yang melonjak dari satu sisi jalan ke sisi lain, seolah-olah cuba menghalang Aina dari melarikan diri. Aina membelok tajam ke arah padang kecil, berharap dapat memotong jalan pulang ke rumah. Tapi padang itu gelap gelita. Langit kini sudah hitam, guruh mula berdentum perlahan.
Kaki Aina mula lemah, dia terjatuh di atas rumput licin. Botol air terpelanting. Fon telinganya tercabut. Dalam kesunyian itu, Aina dapat dengar bunyi nafas lembaga itu pendek, kasar, seperti seseorang yang menahan kemarahan.
Perlahan-lahan dia berpaling.
Pocong itu berdiri tidak jauh, mukanya tertutup sebahagian oleh kain kapan yang lusuh.
Tapi dua biji mata yang merah menyala kelihatan jelas, merenung Aina seolah-olah mengenalinya.
Ada kesan tanah merah di seluruh tubuhnya. Di dahi, terikat kain bertulis ayat-ayat jampi yang pudar.
Aina bangkit, terhuyung-hayang. Dia cuba lari lagi, tapi lututnya lemah. Pocong itu tiba-tiba mengeluarkan suara bukan jeritan, tapi seperti suara manusia, Kenapa kau ambil tanah aku?”
Aina tidak faham. “Apa? Aku tak ambil apa-apa!” katanya teresak-esak.
Tapi lembaga itu hanya melompat lebih dekat. “Kubur aku… bawah rumah kau…”
Aina tersentak. Rumah yang mereka beli baru-baru ini memang pernah dikatakan bekas tapak kubur lama, tapi ejen hartanah menafikan. Suaminya pernah bergurau, “Kalau pun dulu kubur, semua dah dialih. Kubur Islam, pasti dah pindah ikut cara yang betul.”
Tapi entah kenapa, kata-kata lembaga itu terasa benar. Dan Aina teringat — semasa suaminya menggali untuk tanam tiang pagar belakang rumah, mereka terjumpa batu lama dengan tulisan Jawi. Mereka abaikan saja.
Pocong itu kini hanya beberapa langkah darinya. Aina menjerit sekuat hati.
Tiba-tiba, lampu suluh menyuluh ke arahnya. Suaminya berdiri di situ, bersama seorang lelaki tua berjubah putih, Pak Imam.
“Baca ayat Kursi! Sekarang!” jerit lelaki tua itu.
Aina menggigil, dia cuba membacanya tetapi suaranya serak, lidahnya kelu. Angin tiba-tiba bertiup kencang. Pocong itu melompat ke belakang, lalu menjerit nyaring sebelum lenyap ke dalam tanah.
Aina terduduk. Tangisnya pecah.
Malam itu, Aina tidak tidur. Pak Imam menceritakan sejarah kawasan itu. Beberapa kubur lama tidak pernah dialih secara sempurna. Salah satu daripadanya kubur seorang pemuda yang mati teraniaya, ditanam dengan amalan khurafat. Arwahnya tidak pernah tenang.
“Rumah kamu mungkin kena ‘bersih’ semula. Bacaan Yasin setiap malam Jumaat. Jangan tinggal,” pesan Pak Imam.
Sejak itu, Aina tidak berjoging malam lagi. Setiap kali dia lalu di lorong itu, dia akan teringat dengan kejadian itu dan kadang-kadang, dia masih merasa seperti ada sepasang mata merah yang sedang memerhatinya.