Oleh Aqilah HMS –
Sejak aku mula kerja sebagai jurufoto photobooth untuk majlis kahwin, aku sudah terbiasa dengan waktu kerja yang panjang dan penat. Majlis bermula lewat petang, habis tengah malam, dan selalunya aku dan seorang lagi kawan, Haziq, akan jadi orang terakhir yang kemas barang dan pulang.
Bukan sekadar kemas. Kami juga perlu hantar semua peralatan kamera, tripod, lampu LED dan backdrop balik ke stor belakang rumah bos kami, Tuan Shahrin. Dia memang jenis cerewet, semua barang mesti dipulangkan malam tu juga. “Barang mahal, jangan tinggal dalam kereta!” itu pesannya setiap kali.
Stor itu terletak betul-betul di belakang rumah banglonya. Rumah lama, besar, tapi sepi.
Tak pernah pula kami nampak ada ahli keluarga lain, cuma dia seorang yang tinggal. Kami selalu sampai lewat malam, sekitar 1 atau 2 pagi. Masukkan barang, kunci balik dan terus pulang. Itu rutin.
Satu malam lepas habis acara di Jerudong, aku dan Haziq sampai ke stor seperti biasa. Badan dah letih bukan main. Lampu rumah Tuan Shahrin masih menyala, tapi suasana tetap sunyi.

Kami buka pintu belakang, sorong masuk barang satu per satu. Masa aku tengah angkat tripod terakhir, tiba-tiba PAMMM!! pintu depan rumah Tuan Shahrin tertutup dengan kuat.
Terlalu kuat, macam ada orang hempas.
Aku terhenti sekejap. Aku pandang Haziq yang kebetulan tengah lipat backdrop. Dia pandang aku balik, mata terbeliak sikit.
“Eh… kau dengar?” aku tanya, perlahan. Dia terus letak backdrop, jalan perlahan-lahan ke arah aku dan bisik, “Jangan tegur. Masuk kereta. Cepat.”
Aku ikut arahnya. Kami kunci stor, masuk kereta dan terus jalan. Tidak cakap sepatah pun sampailah ke simpang kampung.
“Serius, aku tidak nampak orang pun depan tadi,” aku mula bersuara.
“Aku dah pernah kena sekali dulu. Aku nampak bayang hitam lalu dekat sliding door, tapi bila aku tengok betul-betul, tidak ada siapa.Sebab itu aku kata, jangan tegur.”
Esoknya, bos aku jadi pelik. Biasanya dia jenis yang tenang dan professional, tapi pagi tu masa mesyuarat, dia asyik marah-marah. Ada sahaja tidak kena, warna backdrop salah, kabel tidak susun elok, bateri tidak dicaj.
“Aku dah pesan berapa kali! Jangan letak benda atas meja editing aku!” dia herdik, padahal kami tidak usik apa-apa pun.
Aku dan Haziq hanya diam. Tapi makin hari, makin pelik perangai dia. Dia mula menyendiri. Kadang-kadang tengah kami buat editing, dia bercakap sorang-sorang dalam bilik kerja. Kami pernah dengar dia marah-marah, macam tengah bergaduh. Tapi bila kami tengok, dia seorang saja dalam bilik.
Malam minggu berikutnya, aku seorang yang kena hantar peralatan ke stor. Haziq tidak ikut sebab dia cuti balik kampung.
Mula-mula aku rasa tidak ada apa. Tapi sebaik aku buka pintu stor, bau busuk semacam datang menyapa. Macam bau bangkai yang sudah lama.
Aku tahan nafas dan cepat-cepat susun barang. Tapi waktu aku nak keluar, aku terdengar bunyi ketukan dari dalam stor. Tok… tok… tok…
Aku pusing. Tidak ada siapa, tengkuk aku mula rasa sejuk, bulu roma aku naik. Aku pegang tombol pintu. Baru nak pusing, bunyi pintu depan rumah tu tertutup kuat lagi sekali.
Aku dah menggigil. Aku tahu aku seorang malam tu. Aku tidak fikir panjang, aku terus lari ke kereta dan waktu aku nak buka pintu kereta, aku terpandang sesuatu di penjuru halaman benda putih, seperti longgokan kain, duduk mencangkung.
Aku pandang sekejap. “Mungkin kain alas khemah,” aku pujuk diri sendiri.
Tapi bila aku toleh semula, benda tu sudah hilang. Padang tu kosong. Tidak ada kain. Tidak ada apa-apa.
Aku naik kereta dan pecut terus keluar. Tidak berani nak pandang cermin belakang.
Hari-hari berikutnya, bos aku makin teruk. Mata dia makin cengkung. Dia tidak tidur. Bila kami tegur, dia jadi melenting.
“Kalau kau semua tidak suka kerja sini, berhenti je! Aku tidak perlukan orang yang tidak tahu hormat kerja!” katanya dalam satu mesyuarat, dengan suara tinggi.
Ramai staf mula tak tahan. Seorang dua minta berhenti. Aku dan Haziq cuba bertahan, tapi kami tahu ada sesuatu yang berubah sejak malam pintu tertutup tu.
Haziq akhirnya buka mulut. “Kau tahu tak? Stor tu dulu asalnya bilik arwah ayah Tuan Shahrin. Rumah ni rumah lama keluarga dia. Bila ayah dia meninggal, dia tukar jadi stor sebab tidak sanggup tidur dalam rumah besar seorang-seorang. Tapi orang kampung kata, ayah dia bukan mati biasa. Mati tergantung dalam bilik tu.”
Aku diam. Terus rasa seram satu badan.
Malam terakhir aku kerja, kami ada acara besar di hotel. Pukul 2:30 pagi baru siap. Kali ini, bos sendiri minta aku dan Haziq hantar barang ke stor. Tapi dia tidak keluar rumah. Katanya, “Letak saja macam biasa.”
Masa kami sampai, rumah gelap. Langsung tidak ada lampu. Tapi pintu sliding terbuka. Tidak macam biasa.
Kami pandang satu sama lain. Aku angkat tripod, Haziq tarik lampu LED. Kami berjalan perlahan ke arah stor belakang. Bau busuk semakin kuat, kali ini macam bau darah dan tanah.
Tiba-tiba kami dengar bunyi suara, macam suara lelaki tua batuk teruk. Bunyi itu datang dari atas stor.
Kami tidak tunggu. Terus lari ke kereta. Masa aku toleh ke belakang, pintu stor tertutup sendiri, perlahan, senyap.
Sejak malam tu, aku berhenti kerja. Tak balik lagi ke rumah bos. Beberapa minggu kemudian, aku dengar syarikat photobooth tu tutup. Kata terakhir yang aku dengar dari staf lama, stor itu kini dikunci. Sampai ini aku tak tahu apa yang jadi kat rumah tu dan aku tak mahu tahu.

