Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penunggu surau lama

    Oleh Aqilah HMS –

    Aku masih ingat jelas malam itu. Malam yang membuatkan aku tidak lagi berani singgah ke surau lama di hujung kampung, walaupun sekadar untuk menunaikan solat sunat.

    Surau itu kecil sahaja, berdinding papan usang dengan atap zink yang berkarat. Ia sudah jarang digunakan kerana penduduk kampung lebih selesa ke masjid baharu di tengah kampung.

    Namun, Tok Imam kadang-kadang meminta aku untuk menutup surau selepas solat Isyak. Katanya, biar ada orang muda yang sesekali menjaga rumah Allah itu.

    Mula-mula aku tidak keberatan. Tapi sejak malam itu, aku serik.

    Malam Jumaat, aku singgah ke surau selepas membantu nenek memasak. Surau kosong, hanya diterangi cahaya lampu malap yang berkelip-kelip. Aku solat dua rakaat sunat tahiyatul masjid.

    Gambar ChatGPT

    Ketika memberi salam, dari hujung anak mata aku ternampak sehelai kain putih lusuh melintas di bahagian saf belakang. Aku cepat menoleh, tapi tiada siapa. Surau kosong, hanya aku seorang.

    Bulu romaku meremang. Aku cuba menenangkan hati, “Mungkin tikus tarik kain lap.” Tapi semakin aku cuba berdalih, semakin kuat rasa diperhatikan. Aku bergegas keluar, mengunci pintu tanpa menoleh lagi.

    Di rumah, aku ceritakan pada nenek. Dia terdiam lama sebelum berkata perlahan, “Dulu, ada rumah lama dekat kawasan tu. Bila surau dibina, rumah itu ditimbus. Orang kampung kata ada rumah itu ada penunggu. Pemilik rumah itu mati dalam keadaan tak tenang, kemalangan dan dia dikuburkan di sana.”

    Aku menelan liur. Jangan-jangan hantu pocong? Kataku dalam hati.

    Beberapa malam kemudian, Tok Imam meminta aku dan kawan aku berjaga di surau kerana ada laporan bunyi pelik. Aku ditemani dua sahabat, kali ini bersama Hamdan dan Din.

    Kami bentang tikar di serambi surau. Malam semakin dingin dan tepat jam 3 pagi, bunyi ketukan kuat kedengaran dari dalam mihrab.DUM! DUM! DUM!

    Serentak, lampu kalimantang berkelip dan padam. Surau tenggelam dalam gelap. Dari arah saf belakang, muncul satu bayangan putih berdiri tegak. Tubuhnya terikat, kain kafan lusuh menutup seluruh badan. Mukanya hitam berongga, seakan rongga tanah basah.

    Tiba-tiba kedengaran suara orang menjerit dan ketika aku menoleh, Din terus rebah tidak sedarkan diri.

    Aku kaku, tidak mampu bergerak. Pocong itu melompat sekali bunyinya “DUM!” lantai papan bergetar. Dia makin hampir.

    Aku spontan melaungkan azan dengan suara serak. Pocong itu terhenti, tubuhnya bergoyang kiri kanan. Tiba-tiba, angin dingin menyelubungi seluruh surau. Bayangan itu lenyap sekelip mata, hanya tinggal bau busuk tanah perkuburan.

    Malam berikutnya aku bermimpi berada di surau lama. Pocong itu muncul lagi, tapi kali ini dia tidak menyerang. Dia berdiri di mihrab, kemudian mengeluarkan suara parau, “Buka ikatan aku… aku terkunci di sini…”

    Aku tersentak bangun, jantung berdegup kencang. Kata nenek masih terngiang, tentang liang lahad yang tidak disempurnakan. Mungkinkah ini benar?

    Aku ceritakan segalanya pada Tok Imam. Wajahnya serius, tetapi dia tidak terkejut.
    “Kalau benar begitu, roh itu terikat kerana jasadnya tidak diurus dengan sempurna. Esok kita gali di tepi surau, di kawasan yang dulu bekas kubur.”

    Keesokan petang, beberapa lelaki kampung membantu. Kami menggali di bahagian tepi mihrab, tanahnya masih lembut walaupun sudah lama. Tidak lama kemudian, kami temui tulang-belulang manusia masih berbalut kain kafan lusuh dan benar, ikatan kepala dan kaki masih terikat rapat.

    Tok Imam segera menyempurnakan urusan pengebumian, memutuskan ikatan, membaca doa, lalu mengebumikan semula tulang itu dengan tertib.

    Malam itu, aku kembali ke surau. Aku solat Isyak seorang diri. Kali ini tiada lagi kain putih melintas, tiada bau busuk, tiada ketukan jam 3 pagi. Hati terasa lapang, seolah-olah roh itu sudah bebas.

    Namun, ketika aku hendak keluar, aku terdengar bisikan halus di telinga.

    “Terima kasih… tapi jangan lupa… surau ini masih ada yang menunggu.”

    Aku berpaling pantas. Kosong. Tapi bulu tengkuk ku kembali meremang. Mungkin satu roh sudah bebas, tapi siapa tahu ada berapa lagi yang masih terikat di surau lama itu?

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda