Penunjuk perasaan abai perintah berkurung

WASHINGTON, 3 JUN – Pembantah tidak menghiraukan perintah berkurung di seluruh Amerika Syarikat (AS) tatkala pemimpin berusaha memben-dung kemarahan berhubung rasisme polis sementara Presiden Donald Trump menolak kritikan mengenai penggunaan kekerasan untuk meleraikan rapat aman.

Pertempuran di antara polis dan penunjuk perasaan berlarutan sehingga malam di bandar-bandar dari New York ke Los Angeles berhubung kematian George Floyd, lelaki Afrika-Amerika dengan pembunuhannya telah mencetuskan bantahan besar-besaran di negara sejak seminggu lalu.

Puluhan ribu penunjuk perasaan berkumpul di Houston semalam untuk memberikan penghormatan kepada Floyd, yang membesar di bandar Texas dan akan dikebumikan di sana pada minggu depan.

Di New York, yang melanjutkan perintah berkurung pertamanya sejak Perang Dunia Kedua selama seminggu, wartawan AFP melihat ratusan enggan pulang ke rumah selepas pukul 8 malam, sebaliknya melaung slogan dan berjalan di jalan Manhattan dan Brooklyn.

Beberapa jam selepas perintah berkurung, datuk bandar Bill de Blasio berkata ‘keadaan adalah amat tenang,’ selepas gedung mewah dipecah masuk di Manhattan.

“Setakat ini, perintah berkurung membantu, berdasarkan segala yang saya lihat di Brooklyn dan Manhattan dalam tempoh tiga jam lalu,” katanya di Twitter. – AFP

Penunjuk perasaan mengangkat tangan ketika mereka membantah di tempat peringatan sementara untuk memperingati George Floyd di Minneapolis, Minnesota pada 2 Jun 2020. – AFP