SOFIA, 23 FEB – Gelombang protes yang menentang pengenalan mata wang euro di Bulgaria bertukar menjadi ganas apabila kumpulan nasionalis bertindak membakar kawasan luar pejabat misi Kesatuan Eropah (EU) di ibu negara Sofia, lapor agensi berita Jerman, dpa.
Penunjuk perasaan turut menyimbah cat merah serta membaling bom petrol dan telur ke arah bangunan pejabat EU kelmarin, mencetuskan ketegangan di tengah ibu kota. Pihak polis mengesahkan enam penunjuk perasaan ditahan, sementara 10 anggota polis cedera dalam insiden itu.
Kerajaan Sofia mengecam keganasan yang berlaku.
Anggota Kabinet yang memegang jawatan sejak Januari lalu berhasrat membawa Bulgaria menyertai zon euro pada 1 Jan 2026.
Bulgaria telah menjadi anggota EU sejak 2007.
Dalam kenyataan di platform X, Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen menyifatkan insiden di Sofia sebagai “tindakan keterlaluan” terhadap pejabat EU.
“Di Eropah, kita mengamalkan hak untuk berhimpun secara aman. Keganasan dan vandalisme bukanlah penyelesaian,” tegasnya. Laungan “no to the euro” kedengaran daripada penyokong parti nasionalis pro-Rusia, Vazrazhdane (Revival), yang berhimpun di luar Bank Negara Bulgaria.
Vazrazhdane menuduh bank negara memalsukan data bagi membolehkan pengenalan euro. Parti itu bimbang Bulgaria akan kehilangan kedaulatan negara apabila menggantikan mata wang ‘lev’ dengan euro.
Ketua Vazrazhdane, Kostadin Kostadinov menggesa supaya diadakan referendum bagi mengekalkan penggunaan ‘lev’.
Parlimen Bulgaria sebelum ini menolak permintaan referendum mengenai isu mata wang pada 2023.
Tinjauan pendapat yang dijalankan oleh Bulgarian Mjara Institute pada akhir Januari mendapati lebih separuh penduduk dewasa (57.1 peratus) menolak pengenalan euro “secara prinsip”, manakala 39 peratus menyokong.
Hanya 25.7 peratus bersetuju Bulgaria menyertai zon euro pada 2026. – Bernama
