Friday, February 7, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penunjuk perasaan Bangladesh bakar, roboh kediaman bekas PM Sheikh Hasina

    DHAKA, 6 FEB – Kediaman Dhanmondi 32 di Dhaka mula runtuh akibat hentaman jentolak kelmarin, selepas kebakaran tercetus di tingkat tiga bangunan itu pada sebelah malamnya, lapor United News of Bangladesh (UNB).

    Dhanmondi 32 merupakan kediaman bersejarah milik Sheikh Mujibur Rahman, bapa pengasas Bangladesh, yang menjadi lokasi penting dalam sejarah negara itu.

    Kerja-kerja merobohkan bangunan itu bermula pada 11:30 semalam, susulan serangan api di tingkat tiga sekitar 9 malam.

    Terdahulu, pada kira-kira 10:30 malam, sebuah kren dibawa ke lokasi, diikuti jentolak tidak lama kemudian. Api marak membakar sebahagian bangunan itu ketika orang ramai menyaksikan kejadian tersebut.

    Sebaik sahaja kren diposisikan, ramai yang memanjatnya sambil bersorak dan melaungkan slogan seperti ‘Runtuhkan rumah Sheikh Mujib, ranapkan ke tanah.’ Sebilangan penunjuk perasaan turut menuntut Sheikh Hasina dihukum mati.

    Insiden itu berlaku bertepatan dengan enam bulan pemergian Sheikh Hasina dari Bangladesh selepas digulingkan menerusi gerakan massa.

    Sejak 8 malam, orang ramai mula berkumpul di luar kediaman itu. Ketika jumlah mereka semakin meningkat, ketegangan memuncak, menyaksikan penunjuk perasaan merempuh pintu pagar dan menceroboh masuk. Berbekalkan kayu serta tuil besi, mereka aktif melakukan kemusnahan.

    Aktivis pelajar dan kempen dalam talian yang terlibat dalam kebangkitan rakyat pada Julai lalu mengumumkan bahawa perobohan akan bermula tepat ketika Sheikh Hasina dijadualkan menyampaikan ucapan.

    Namun, serangan itu berlaku lebih awal, kira-kira jam 8 malam. – Bernama

    Para penduduk berkumpul selepas penunjuk perasaan menyerbu Muzium Memorial Bangabandhu, kediaman Sheikh Mujibur Rahman, di Dhanmondi 32 di Dhaka pada 6 Februari. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda