GORONTALO, INDONESIA, 22 SEPT – Penunjuk perasaan telah membakar pejabat datuk bandar di sebuah pulau di Indonesia untuk menuntut pampasan ke atas aktiviti syarikat perlombongan di kawasan mereka, kata polis, sambil menambah bahawa beberapa tangkapan telah dibuat.
Kehadiran syarikat perlombongan yang semakin meningkat di pulau-pulau utama Indonesia telah menyebabkan rusuhan dan pertempuran sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana keadaan kerja yang buruk dan pencerobohan tanah.
Pergolakan bermula kelmarin di Pohuwato, wilayah Gorontalo, pulau Sulawesi yang kaya dengan mineral apabila perarakan melibatkan kira-kira 2,500 penunjuk perasaan menghampiri pejabat datuk bandar tempatan namun tiada pegawai bersedia untuk bertemu dengan mereka, menurut laporan media tempatan.
Aktivis-aktivis masyarakat telah menganjurkan perarakan menuntut pampasan ke atas aktiviti perlombongan emas di kawasan mereka oleh PT Puncak Emas Tani Sejahtera, anak syarikat PT Merdeka Copper Gold yang menyelia lombong Projek Emas Pani.
“Mengenai demo itu, polis masih bekerja keras untuk menyiasat rusuhan yang berlaku semasa demonstrasi di Pohuwato,” kata polis Gorantalo di laman webnya lewat kelmarin, memetik jurucakap Desmont Harjendro.
Selepas pejabat datuk bandar dibakar, penunjuk perasaan menuju ke parlimen tempatan untuk mengadakan satu lagi tunjuk perasaan, di mana bangunan itu turut dirosakkan, menurut laporan-laporan. – AFP
