Penunjuk perasaan musnahkan kedai, bank di Hong Kong

HONG KONG, 9 DIS – Sekumpulan penunjuk perasaan yang ganas memusnahkan kedai dan sebuah bank di Teluk Causeway dan Wan Chai semasa satu demonstrasi di Hong Kong pada Ahad, lapor agensi berita China, Xinhua memetik kenyataan polis.

Polis memberi amaran agar mereka tidak melakukan tindakan menyalahi undang-undang yang mengancam ketenteraman dan keselamatan awam.

Satu perhimpunan awam diadakan di Victoria Park pada Ahad tengah hari disusuli perarakan yang dijangka tamat di Chater Road di daerah pusat.

Beberapa peserta telah menyimpang dari laluan yang diluluskan dan menduduki sebahagian Gloucester Road dan Des Voeux Road Central.

Polis turut meminta semua peserta agar tidak menyimpang dari laluan yang telah diluluskan dan menasihati mereka agar bersurai selepas perhimpunan itu. – Bernama

Pekerja membersihkan dinding yang dirosakkan semasa tunjuk perasaan di Hong Kong pada hujung minggu lalu. – AP