Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penunjuk perasaan protes skandal pemeriksaan kanser payudara

    SEVILLE, 27 OKT – Ribuan penunjuk perasaan membanjiri bandar selatan Sepanyol, Seville, kelmarin berikutan kemarahan awam yang semakin memuncak terhadap kegagalan sistem kesihatan yang menyebabkan ratusan wanita tidak menerima keputusan pemeriksaan kanser payudara mereka.

    Kerajaan wilayah Andalusia yang ditadbir oleh pihak konservatif mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya 2,300 wanita terjejas selepas menjalani ujian mamogram di hospital awam dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

    Semua ujian tersebut menunjukkan keputusan bermasalah atau tidak konklusif yang sepatutnya memerlukan pemeriksaan susulan. Kegagalan pihak hospital memaklumkan keputusan itu menyebabkan potensi kes kanser tidak dikesan lebih awal.

    Pihak berkuasa wilayah setakat ini belum memberikan penjelasan jelas mengenai kegagalan tersebut, namun berjanji akan menambah kakitangan di unit mamogram, langkah yang dianggap tidak mencukupi oleh ramai pesakit dan aktivis.

    Protes yang diketuai oleh wanita telah tercetus di beberapa bandar di Andalusia sejak awal bulan ini, dengan laporan media tempatan menyatakan ribuan orang mengadakan bantahan di jalan.

    Dalam sistem politik Sepanyol yang berstruktur desentralisasi, setiap wilayah bertanggungjawab ke atas perkhidmatan kesihatan awam mereka sendiri. Namun skandal ini turut mencetuskan ketegangan antara kerajaan pusat berhaluan kiri di Madrid dan pihak berkuasa wilayah berhaluan kanan.

    Mengikut seruan AMAMA, sebuah persatuan wanita penghidap kanser payudara yang berpangkalan di Seville menjalankan protes tunjuk perasaan di hadapan Istana San Telmo, pusat pentadbiran wilayah tersebut. – AFP

    Penduduk Sepanyol menyertai tunjuk perasaan berhubung kegagalan pemeriksaan kanser payudara oleh persatuan kanser payudara AMAMA di Seville, pada 26 Oktober. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda