BEIJING, 13 DIS – Sebahagian universiti China berkata mereka membenarkan penuntut-penuntutnya untuk menghabiskan semester mereka dari rumah, dengan harapan untuk mengurangkan kemungkinan penularan COVID yang lebih besar semasa pulang sempena Tahun Baharu Cina pada Januari nanti.
Ia masih belum jelas beberapa buah universiti yang membuat langkah tersebut, tetapi universiti-universiti di Shanghai dan bandar berhampiran berkata para penuntut akan diberikan pilihan sama ada untuk pulang ke rumah lebih awal atau terus menetap di kampus dan menjalani ujian setiap 48 jam.
Tahun Baharu China, yang jatuh pada 22 Januari tahun hadapan, secara tradisinya musim perjalanan paling sibuk di China.
Universiti sering kali dikenakan arahan berkurung sejak tiga tahun kebelakangan, sekali-sekala menyebabkan pertelingkahan antara pihak berkuasa dan penuntut yang terkurung di kampus atau di dalam bilik asrama mereka.
Pengumuman itu dibuat selepas China melonggarkan dasar sifar COVID yang ketat, membenarkan mereka yang mengalami gejala ringan untuk berada di rumah berbanding menghantar mereka ke pusat kuarantin.
Bermula hari ini, China menghentikan beberapa pengesanan perjalanan, yang berpotensi mengurangkan kemungkinan penduduk terpaksa menjalani kuarantin kerana mengunjungi kawasan panas COVID.
Namun sempadan antarabangsa China sebahagian besarnya masih ditutup dan belum ada pengumuman bila sekatan perjalanan luar dan penduduk berharap sekatan perjalanan ke luar negara akan dilonggarkan.
China melaporkan 7,451 kes jangkitan baharu kelmarin, menjadikan angka keseluruhan di negara itu kepada 372,763 – lebih dua kali ganda berbanding jumlah pada 1 Oktober. Ia turut merekodkan 5,235 kematian – berbanding 1.1 juta orang di Amerika Syarikat. – AP


