Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jafaar menekankan pentingnya bagi para profesional kesihatan serta penuntut-penuntut yang menjalani latihan di luar negara untuk sentiasa berhubung dengan pihak yang berkenaan termasuk Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan.
Komunikasi berkenaan penting bagi memudahkan pemantauan, pengawalseliaan dan perancangan latihan, di samping membuka ruang untuk mendapatkan nasihat dan panduan mengenai hala tuju dan kepakaran yang diperlukan.
Penekanan tersebut dibuat oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa menghadiri sesi perjumpaan ramah mesra dan dialog bersama penuntut-penuntut bidang perubatan, pergigian, kejururawatan, farmasi dan Profesional Kesihatan Bersekutu serta doktor-doktor yang mengikuti latihan kepakaran di United Kingdom dan Ireland pada 24 Mei lalu.
Para penuntut dan pelatih profesional kesihatan adalah aset negara dan khidmat mereka amat diperlukan setelah selesai menjalani pembelajaran dan latihan untuk menyumbangkan bakti ke arah perkhidmatan yang lebih berkualiti dan efisien demi meningkatkan tahap kesihatan dan sekali gus kesejahteraan rakyat dan masyarakat di Negara Brunei Darussalam, tekannya lagi dalam sesi yang diadakan secara hibrid di Hotel Marriott, Glasgow.
Sesi itu telah dilaksanakan bersama oleh Kementerian Kesihatan, Unit Penuntut-penuntut dan Brunei Medical Student Association di mana ia dihadiri oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham serta ahli rombongan.
Turut hadir pada sesi berkenaan ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke United Kingdom, Tuan Yang Terutama Laksamana Pertama (B) Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pengiran Haji Muhammad; Pengarah Pengajian Unit Penuntut-penuntut, Cikgu Mohammad Danny bin Aimi serta beberapa pegawai kanan dari rombongan Kementerian Kesihatan dan Unit Penuntut-penuntut di London.
Sesi itu bermatlamat untuk memberikan pendedahan mengenai keperluan-keperluan sistem penjagaan kesihatan di Negara Brunei Darussalam serta memberikan peluang untuk berkongsi pengalaman dalam pengajian perubatan dan kesihatan.
Semasa sesi berkenaan, taklimat telah disampaikan oleh rombongan kementerian dan diikuti dengan sesi soal jawab bersama Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham.
Taklimat telah mengongsi maklumat-maklumat mengenai dengan kerjaya kedoktoran dan pergigian termasuk jumlah graduan-graduan yang melaporkan diri ke kementerian setiap tahun, bidang-bidang perkhidmatan klinikal yang ditawarkan, hala tuju kerjaya dalam bidang kedoktoran, latihan-latihan yang ditawarkan di Negara Brunei Darussalam termasuk Basic Specialty Training/Core Training, bidang-bidang kepakaran yang diperlukan, peluang-peluang dan tatacara proses meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya.
Sesi itu mencerminkan komitmen berterusan dari pihak Kementerian Kesihatan dalam membina hubungan erat bersama generasi profesional kesihatan Brunei di luar negara, sebagai pelaburan penting bagi masa depan sistem penjagaan kesihatan negara.
