Penuntut M’sia dikuarantin di hospital Mesir

KUALA LUMPUR, 27 MAC – Seorang pelajar perempuan dari Malaysia kini dikuarantin di 15th Of May Hospital, di Kaherah, Mesir, disyaki mempunyai gejala berkaitan COVID-19, selepas menjalani  ujian saringan di sebuah pusat kesihatan di ibu negara itu baru-baru ini.

Satu sumber dari sebuah persatuan pelajar Malaysia di Mesir berkata penuntut berusia lingkungan awal 20an dan sedang mengikuti kursus pengajian Islam di sebuah universiti di Kaherah itu, dimasukkan ke hospital berkenaan sejak 22 Mac lalu.

“Pelajar berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan pihak hospital sentiasa memantau keadaannya.

“Pihak kami dimaklumkan pelajar itu tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar Mesir atau mempunyai kontak dengan individu positif COVID-19,” kata sumber itu ketika dihubungi Bernama.

Menurut sumber, keluarga pelajar berkenaan telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

Sehingga kini, belum ada laporan perubatan dikeluarkan pihak hospital tentang keadaan kesihatan pelajar itu. Minggu lepas, Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah menasihatkan semua penuntut Malaysia di Mesir supaya tidak memandang remeh ancaman COVID-19 dan sentiasa mengambil langkah pencegahan. – Bernama