Saturday, May 10, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penurunan indeks bukan makanan jejas IHP

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi April 2024 menunjukkan penurunan sebanyak 0.2 peratus berbanding April 2023, yang didorong oleh penurunan bagi indeks bukan makanan sebanyak 0.7 peratus.

    Manakala itu, indeks makanan dan minuman ringan meningkat sebanyak 1.7 peratus, kongsi Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Kenyataan menjelaskan, penurunan bagi indeks bukan makanan adalah terutamanya disebabkan oleh harga-harga perhubungan (2.7 peratus) khususnya perkhidmatan Internet dan pengangkutan (1.8 peratus) berikutan penurunan bagi harga tiket penerbangan.

    Sementara itu, peningkatan bagi indeks makanan dan minuman ringan adalah didorong oleh kenaikan harga minuman ringan (10.7 peratus) khususnya minuman yang sedia untuk diminum dan harga susu, produk tenusu dan telur (4.2 peratus).

    Berbanding Mac 2024, IHP bagi April 2024 menunjukkan penurunan sebanyak 0.1 peratus, berikutan penurunan bagi indeks makanan dan minuman ringan dan indeks bukan makanan masing-masing sebanyak 0.4 peratus dan 0.1 peratus.

    Penurunan indeks makanan dan minuman ringan adalah terutamanya disumbangkan oleh harga ikan dan makanan laut (2 peratus) dan daging (1 peratus). Manakala itu, penurunan indeks bukan makanan adalah terutamanya disumbangkan oleh harga pakaian dan kasut (0.7 peratus) dan perhiasan, perkakasan isi rumah dan penyelenggaraan rutin isi rumah (0.4 peratus).

    IHP mengukur perubahan harga bakul barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa yang ditetapkan dan dikumpulkan setiap bulan.

    Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berdasarkan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperolehi melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga.

    Laporan penuh IHP bagi April 2024 boleh didapati di laman sesawang JPES melalui https://deps.mofe.gov.bn.

    Statistik IHP bagi tahun 2024. – GAMBAR SERAHAN JPES
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda