Saturday, April 19, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penutup botol cukup unik dijadikan perhiasan

    Oleh Amri HTZ

    Menggunakan semula barangan terpakai untuk dijadikan sesuatu yang berguna merupakan amalan yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan sehari-hari.

    Ini disebabkan terdapat lebih daripada 5.25 bilion mikroplastik terapung di lautan hasil daripada pembuangan yang tidak teratur menyebabkan pencemaran. Barangan terbuang daripada bahan plastik yang mencemarkan persekitaran ini juga termasuk botol-botol kosong yang sebenarnya boleh dimanfaatkan dalam kehidupan sehari-hari.

    Salah satunya ialah bagi mereka perhiasan untuk sesebuah ruangan dan projek rekaan kali ini akan membawa awda untuk merekanya dengan langkah-langkah tertentu.

    Barangan yang diperlukan

    Sebelum beralih ke langkah pembuatan, awda terlebih dahulu perlu menyediakan peralatan untuk merekanya seperti penutup botol pelbagai warna, cat sembur berwarna hitam, papan lapis berketebalan ½ inci, pita pengukur, pensel penanda, tali, mesin pemotong kayu, mesin gerudi, mata gerudi dan gam silikon atau hot glue gun.

    Langkah satu persatu pembuatan

    Sebelum memulakan proses pembuatan, bagi memudahkan awda merujuk gambaran rekaan yang bakal dihasilkan, ia perlu dicetak pada kertas berukuran A4 terlebih dahulu. Bentuk gambaran yang hendak dihasilkan adalah mengikut kesesuaian ruangan dan pilihan tersendiri. Pada projek ini, gambaran berbentuk wajah akan direka dengan memanfaatkan pelbagai warna penutup botol yang digunakan.

    Antara barangan yang perlu disediakan lebih awal sebelum memulakan langkah pembuatan.
    Gambaran kedudukan penutup botol mengikut warna yang perlu dicetak pada kertas sebagai rujukan ketika projek rekaan.
    Langkah menandakan ruangan kosong atau sempadan di antara penutup botol dan bahagian keseluruhan sisi papan.

    Pemilihan sumber barangan terbuang yang hendak digunakan tertakluk kepada ketersediaan sama ada melalui simpanan sendiri ataupun mengutipnya di tempat-tempat yang dirasakan terdapat banyak. Penulis menyarankan awda untuk mengutipnya di kawasan-kawasan pantai awam di mana terdapat sampah-sarap dibuang atau hanyut dibawa ombak dari negara lain. Ini kerana selain berguna untuk rekaan yang akan dihasilkan, langkah mengutipnya juga sekali gus menjadikan pantai kita lebih bersih dan indah.

    Projek ini akan menggunakan penutup botol berwarna hitam, merah, oren, biru, hijau dan putih serta kuning bagi mempertingkatkan kawasan-kawasan yang akan membezakan di antara hidung, mata, mulut dan pipi gambaran tersebut nanti. Jika warna yang di-sarankan tidak boleh didapatkan, awda boleh menukarkannya kepada warna lain ataupun mewarnakannya menggunakan cat sembur.

    Papan lapis atau MDF yang telah disediakan perlu dipotong sesuai ukuran diperlukan iaitu 122sm x 40.6sm. Gunakan mesin pemotong kayu bulat (circular) untuk mendapatkan permukaan potongan yang kemas dan mudah tetapi penggunaan gergaji secara manual juga boleh dilakukan jika tidak memiliki mesin sedemikian.

    Setelah memotongnya, bersihkan keseluruhan permukaan potongan (jika terdapat permukaan kasar dan tajam) menggunakan kertas pasir berukuran 400 grit. Selesai melakukannya, warnakan permukaan papan lapis menggunakan cat sembur berwarna hitam. Memilih jenis cat juga memainkan peranan penting dalam rekaan di mana pada langkah ini cat hitam jenis matte digunakan agar ia sesuai dengan permukaan luar penutup botol yang tidak berkilat.

    Sekurang-kurangnya dua lapisan cat akan disemburkan pada permukaan papan bagi memastikan warna cat seimbang di mana lapisan pertama cat pada kebiasaannya masih belum dapat menutupi permukaan dengan warna berlainan) permukaan papan masih boleh dilihat. Berikan masa beberapa minit untuk cat mengering bagi setiap lapisan sebelum memberikan lapisan baharu.

    Apabila cat mengering, langkah seterusnya adalah menandakan permukaan papan untuk ruangan yang tidak akan diisikan dengan penutup botol di setiap sudut papan agar tampak lebih seimbang. Sudut atas, bawah dan kedua-dua sisi papan akan diberikan ruangan kosong 3.5sm dan ini akan ditandakan dengan garisan bagi memastikan sempadan di antara penutup botol dan ruangan tersebut.

    Setelah menandakan sempadan di antara kawasan penutup botol dan ruangan kosong, awda kini boleh memulakan proses melekatkan penutup botol satu persatu mengikut warna dan kawasan. Rekaan berbentuk separuh muka tersebut akan menggunakan 40 penutup botol berwarna merah untuk hidung, 27 (hitam) garisan hidung, 22 (merah) untuk bibir atas dan bawah dan 19 (hitam) untuk garisan bibir.

    Sementara itu 33 penutup botol berwarna hijau untuk dagu, 6 (hitam) bagi garisan dagu, 15 (putih) bahagian leher, 52 (oren) bahagian pipi dan 66 (biru) untuk tulang pipi. Manakala untuk bahagian mata memerlukan 45 penutup botol (oren) bagi bahagian bawah mata, 15 (hitam) bagi garisan mata, 13 (kuning), 18 (biru), tiga (hitam) dan satu (merah) untuk bebola mata. Bagi bahagian dahi atau atas mata, penutup botol berwarna hijau akan digunakan dengan jumlah keseluruhannya sebanyak 35 biji.

    Setelah kesemua penutup botol dilekatkan menggunakan silikon, hotglue gun atau superglue, bagi menunggu gam mengering, luangkan masa membersihkan lebihan gam yang secara tidak sengaja terkena pada bahagian permukaan rekaan.

    Langkah terakhir rekaan ialah menempatkan besi penggantung pada bahagian belakang tengah papan bagi memastikan ia seimbang apabila digantungkan nanti. selain menggunakan penggantung khusus, penggunaan dawai yang diikat di antara dua skru (ditempatkan pada bahagian kedua-dua sisi papan) juga boleh dilakukan. Rekaan yang terhasil, kini boleh digantungkan di ruangan bersesuaian bagi menyerikan suasananya lagi!

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda