Wednesday, April 30, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penutupan beberapa stesen minyak Mei ini

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Beberapa buah stesen minyak di tiga buah daerah dijadualkan ditutup sementara bagi kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian ke atas alat sukatan iaitu pam minyak bagi Mei 2025.

    Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, menyatakan kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian bacaan ketepatan akan dilaksanakan ke atas alat sukatan jenis pam minyak di stesen-stesen minyak.

    Menurut Unit SDT, langkah berkenaan adalah selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151, di mana pemeriksaan bacaan ketepatan, sah dan berdaftar dengan Unit SDT adalah dikehendaki ke atas penggunaan alat sukat dan timbang bagi tujuan perdagangan.

    Dengan mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan orang ramai serta para tenaga kerja yang terlibat sepanjang kerja pemeriksaan dan penelitian berkenaan, stesen-stesen minyak akan ditutup bermula 9 pagi sehingga selesai, yang mana anggaran pelaksanaannya mengambil masa sekitar 2 jam.

    Pemeriksaan dan penelitian ke atas stesen-stesen minyak itu adalah pemeriksaan rutin yang dikendalikan sebanyak tiga kali setahun.

    Sehubungan itu, jadual penutupan sementara stesen-stesen minyak bagi kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian bacaan ketepatan bagi Daerah Brunei dan Muara pada 5 Mei adalah di Stesen Minyak Mar’azmala, 6 Mei di Stesen Minyak Tumasek dan 7 Mei di Stesen Minyak Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (Terminal Muara), manakala bagi Daerah Temburong pada 22 Mei di Stesen Minyak Batang Duri dan bagi Daerah Belait pada 27 Mei di Stesen Minyak Perniagaan Melayu Sdn Bhd.

    Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi SDT melalui e-mel, sdt@mofe.gov.bn atau melalui talian, 2334092.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda