BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OGOS – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan memaklumkan orang ramai terutama kepada para pengguna jalan raya bahawa Jalan Setia Pahlawan dan Jalan Jaya Negara, Kuala Belait akan ditutup sementara bermula kelmarin (1 Ogos).
JKR dalam kenyataannya menjelaskan penutupan selama dua bulan sehingga 4 Oktober itu bertujuan untuk memberikan laluan kepada pihak kontraktor bagi melaksanakan pemasangan box culvert di jalan tersebut.
Sehubungan dengan itu, JKR mengingatkan para pengguna jalan raya khususnya yang tinggal berhampiran supaya akan sentiasa berhati-hati apabila melalui kawasan tersebut di samping mematuhi papan tanda jalan raya dan papan tanda keselamatan demi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini.
Sebarang aduan, orang ramai bolehlah menghubungi pihak jabatan melalui Talian Darussalam 123, Livechat 8333123, Facebook Jabatan Kerja Raya, Brunei Darussalam dan e-mel pro@pwd.gov.bn.
