TEMBURONG, 28 FEB – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan memaklumkan kepada orang ramai terutama kepada para pengguna jalan raya mengenai penutupan sementara sebahagian jalan di Pekan Bangar, Temburong.
Penutupan sementara sebahagian jalan itu yang akan dilaksanakan esok (1 Mac) sehingga kerja-kerja selesai, adalah diperlukan bagi memberi laluan kerja-kerja pembinaan pembetungan di kawasan Pekan Bangar.
Kerja pembinaan tersebut melibatkan pengorekan tanah sedalam tiga meter untuk menanam paip pembetung berdiameter 150mm dan 200mm serta membuat penyambungan paip pembetung ke sebahagian kawasan perumahan, hotel dan bangunan kerajaan.
Kawasan-kawasan yang terlibat adalah Jalan Pekan Bangar, berdekatan balai bomba dan Hotel Stoneville serta Jalan Asrama, berdekatan berek bomba.
Sehubungan dengan itu, pihak jabatan mengingatkan kepada para pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati apabila melalui kawasan tersebut di samping mematuhi tanda-tanda lalu lintas dan tidak meletakkan kenderaan di sepanjang simpang-simpang yang terlibat demi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini.
Sebarang aduan, orang ramai bolehlah menghubungi pihak jabatan melalui Talian Darussalam: 123 atau Live Channel 123 (8333123), Facebook: Jabatan Kerja Raya, Brunei Darussalam dan e-mel: pro@pwd.gov.bn.