BELAIT, 12 JUN – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan memaklumkan orang ramai terutamanya para pengguna jalan raya mengenai penutupan sementara sebahagian Jalan Setia Pahlawan dan Jalan Sungai Pandan, Kuala Belait selama tiga minggu mulai esok, pukul 8:30 pagi.
JKR dalam kenyataannya menjelaskan bahawa penutupan sementara berkenaan adalah bagi membolehkan kerja-kerja melapis semula jalan raya di jalan-jalan berkenaan dapat dilaksanakan.
Sehubungan itu, pengguna jalan raya boleh menggunakan jalan raya alternatif di kawasan berkenaan.
Di kesempatan itu, JKR mengingatkan para pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati apabila melalui kawasan tersebut di samping mematuhi tanda-tanda lalu lintas dan had laju yang dibenarkan demi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini.
Sebarang aduan, orang ramai boleh menghubungi pihak jabatan melalui Talian Darussalam 123, Livechat 8333123 ataupun e-mel pro@pwd.gov.bn.