Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penutupan kaunter perkhidmatan Pusat Memproses Mel dan Bungkusan

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JULAI – Jabatan Perkhidmatan Pos (JPP), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi memaklumkan orang ramai bahawa perkhidmatan kaunter di Pusat Memproses Mel dan Bungkusan, Berakas akan ditutup sementara bermula 8 Julai sehingga suatu tarikh yang akan diumumkan kemudian.

    Penutupan berkenaan adalah disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan pada sistem perkhidmatan yang sedia ada tetapi perkhidmatan pengambilan bungkusan dan EMS masih beroperasi seperti biasa.

    Sehubungan itu, orang ramai adalah disarankan untuk berkunjung ke cawangan-cawangan berdekatan bagi mendapatkan perkhidmatan kaunter pos.

    Dalam pada itu, JPP juga memaklumkan orang ramai mengenai pengemaskinian beberapa per-khidmatan kaunter di cawangan-cawangan pejabat pos di seluruh negara.

    Bagi Pusat Memproses Mel dan Bungkusan, Berakas, perkhidmatan kaunter hanya menyediakan perkhidmatan penyerahan bungkusan dan EMS atau Pos Laju.

    Gambar Freepik

    Sementara itu, perkhidmatan kaunter di cawangan Gadong, Seri Kompleks, Muara, Sengkurong, Tutong dan Seria menyediakan perkhidmatan tradisi dan perkhidmatan agensi yang termasuk pembaharuan lesen memandu, pembaharuan lesen kenderaan dan pembayaran bil air.

    Perkhidmatan kaunter cawangan Mumong juga menyediakan perkhidmatan tradisi, sementara itu bagi perkhidmatan agensi akan menerima pembayaran bil air.

    Perkhidmatan kaunter di cawangan-cawangan berkenaan beroperasi pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari 8 pagi hingga 3 petang.

    Manakala itu, perkhidmatan kaunter jabatan bagi sembilan cawangan iaitu Bandar Seri Begawan, Rimba, Bunut, Limau Manis, Lumapas, Lamunin, Bangar, Telisai dan Lumut menyediakan perkhidmatan tradisi dan perkhidmatan agensi (pembayaran bil air).

    Cawangan Salambigar pula menyediakan perkhidmatan penyerahan bungkusan.

    Kesemua cawangan berkenaan beroperasi dari 8 pagi hingga 12 tengah hari dan 1:30 petang dan 3 petang.

    Cawangan Labi pula menyediakan perkhidmatan penyerahan bungkusan dan beroperasi setiap Selasa dari 8 pagi hingga 10 pagi.

    Perkhidmatan kaunter di cawangan Anggerek Desa dan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pula ditutup.

    Untuk sebarang pertanyaan, hubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (CSC) di talian 2380481 atau 8711002 (WhatsApp) atau e-mel kepada cscpost@post.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda