Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penutupan kerajaan AS rekod terpanjang, 36 hari

    WASHINGTON, 5 NOV – Penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS) menjadi yang paling lama dalam sejarah, hari ini, apabila memasuki hari ke-36 tanpa sebarang penyelesaian, susulan kebuntuan antara Parti Republikan dan Demokrat di Senat berhubung usaha memulihkan pembiayaan kepada agensi persekutuan yang ditutup, lapor Anadolu Ajansi.

    Penutupan itu mengatasi rekod terdahulu selama 35 hari yang berlaku semasa penggal pertama Presiden Donald Trump antara Disember 2018 dan Januari 2019, selepas Dewan Senat kelmarin menolak rang undang-undang pembiayaan yang diluluskan Dewan Perwakilan daripada Parti Republikan buat kali ke-14.

    Usul berkenaan gagal diluluskan dengan undian 54-44 tanpa sebarang ahli Demokrat tambahan menyokong penerusannya.

    Untuk menamatkan penutupan itu, kedua-dua parti di Senat perlu mencapai kompromi yang boleh ditandatangani oleh Trump.

    Penutupan kerajaan bermula pada 1 Oktober selepas rundingan mengenai keutamaan perbelanjaan persekutuan gagal mencapai kata sepakat.

    Sejak itu, ribuan kakitangan kerajaan persekutuan telah diberhentikan sementara atau bekerja tanpa gaji, manakala perkhidmatan kerajaan pula digantung atau dikurangkan. – Bernama

    Bulan penuh kelihatan terbit di belakang Bangunan Capitol Amerika Syarikat pada 4 November, di Capitol Hill, Washington, DC. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda