BANDAR SERI BEGAWAN, 30 DIS – Jabatan Muzium-muzium, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) memaklumkan bahawa Balai Pameran di Taman Warisan Tasek Merimbun, Tutong akan ditutup sementara waktu bagi melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan.
Walau bagaimanapun, Taman Kulimambang dan denai-denai penerangan masih dibukakan untuk pengunjung mengikut jadual pembukaan de-escalation tahap 4 bagi muzium-muzium dan galeri di bawah kawalan Jabatan Muzium-muzium iaitu setiap Selasa hingga Khamis, Sabtu dan Ahad dari pukul 9 pagi hingga 2 petang.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Muzium-muzium, Taman Warisan Tasek Merimbun telah diisytiharkan sebagai sebuah Taman Warisan ASEAN pada 29 November 1984 dan kompleks yang ada pada masa ini telah dirasmikan pada 2000.
Selain daripada menjadi tempat beriadah, taman berkenaan sering kali dikunjungi para penyelidik dari dalam dan luar negara bagi mempelajari fauna dan flora yang terdapat di taman warisan tersebut.
Beberapa spesies endemik telah ditemui seperti sejenis labah-labah yang telah dinamakan sempena tempat ianya diperolehi iaitu Mallinella Merimbunenis.
Sebarang pertanyaan berkaitan dengan taman warisan berkenaan bolehlah melayari laman sesawang Jabatan Muzium-muzium, www.museums.gov.bn atau melalui emel info@muzium.gov.bn.