Wednesday, November 27, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penutupan sementara beberapa stesen minyak

    Oleh Sim Y. H. 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Beberapa buah stesen minyak di tiga buah daerah dijadualkan untuk ditutup sementara bagi kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian ke atas alat sukatan iaitu pam minyak bagi bulan Disember.

    Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, menyatakan akan melaksanakan kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian bacaan ketepatan ke atas alat sukatan jenis pam minyak di stesen-stesen minyak.

    Menurut SDT, langkah berkenaan adalah selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151, di mana pemeriksaan bacaan ketepatan, sah dan berdaftar dengan Unit SDT adalah dikehendaki ke atas penggunaan alat sukat dan timbang bagi tujuan perdagangan.

    Dengan mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan orang ramai serta para tenaga kerja yang terlibat sepanjang kerja pemeriksaan dan penelitian berkenaan, stesen-stesen minyak akan ditutup bermula pukul 9 pagi sehingga selesai, yang mana anggaran pelaksanaannya adalah sekitar 2 jam.

    Pemeriksaan dan penelitian ke atas stesen-stesen minyak itu adalah pemeriksaan rutin yang dikendalikan sebanyak tiga kali setahun.

    Sehubungan dengan itu, jadual penutupan sementara stesen-stesen minyak bagi kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian bacaan ketepatan pada Disember 2024 dari pukul 9 hingga 11 pagi bagi Daerah Brunei Muara pada 5 Disember di Stesen Minyak TAIB Beribi, 7 Disember di Stesen Minyak Syarikat Kerjasama Kampung Tanjong Nangka (Satenaga), Kampung Tanjong Nangka, 9 Disember di Stesen Minyak Pengalayan, Kampung Kapok dan 10 Disember di Stesen Minyak Syarikat Badan Tanmiah, Kampung Limau Manis, bagi Daerah Belait pada 12 Disember di Stesen Minyak Perkhidmatan Lumut dan pada 17 Disember di Stesen Minyak Minyak Koperasi Kampung Sungai Teraban (KSST) Berhad, Kampung Sungai Teraban serta bagi Daerah Tutong pada 23 Disember di Stesen Minyak PHA Bakar bin Jambol, Kampung Suran.

    Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi Unit Sukatan dan Timbangan melalui e-mel atau melalui talian, 2334092.

    Gambar hiasan. Gambar FREEPIK
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda