Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MEI – Jabatan Kerja Raya (JKR), hari ini, memaklumkan mengenai penutupan sementara beberapa batang jalan raya di ibu negara bermula esok.
Menurut JKR, separuh jalan di persimpangan Lampu Isyarat Jalan Pretty/ Jalan Mc Arthur akan ditutup sementara bagi kerja-kerja pemasangan loop sensor yang bermula pukul 11 malam hingga 4 pagi, hingga 30 Mei, tertakluk kepada keadaan cuaca.
Sementara itu, penutupan sebahagian jalan di jalan Pemancha berhadapan dengan Bangunan BIBD dan IBB Takaful DAR Utama, adalah bagi kerja-kerja penyelenggaraan bagi sistem penyaman udara di bangunan IBB Takaful DAR Utama.
Kerja-kerja penyelenggaraan berkenaan akan dilaksanakan dari pukul 7 malam hingga 5 pagi, tertakluk kepada keadaan cuaca.
Secara berasingan, separuh jalan di jambatan menuju ke Penanjong Garison akan ditutup sementara bermula esok hingga 26 Mei bagi kerja-kerja penurapan aspal di jambatan berkenaan.
Penutupan sementara itu akan dilaksanakan dari pukul 8:30 pagi hingga 6 petang.
Sehubungan itu, jalan lencongan telah disediakan dan pengguna jalan dinasihatkan untuk memperlahankan kenderaan dan sentiasa berhati-hati, mematuhi papan tanda arahan jalan raya serta had kelajuan yang telah ditetapkan semasa melalui kawasan-kawasan berkenaan.