Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 APRIL – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan memaklumkan orang ramai terutamanya para pengguna jalan raya mengenai penutupan sementara separuh jalan di sepanjang Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) selama sebulan bermula hari ini hingga 5 Mei
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, JKR menjelaskan bahawa penutupan sementara separuh jalan itu dilakukan dari jalan berhadapan Taman Persiaran Damuan menuju ke lampu isyarat lalu lintas Telanai dan mulai dari lampu isyarat lalu lintas Telanai menuju ke Stesen Minyak Shell Tumasek bermula 9 malam sehingga 4 pagi sepanjang tempoh penutupan tersebut.
Penutupan sementara separuh jalan berkenaan adalah bagi memberi ruang kepada pihak Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) untuk melaksanakan kerja-kerja pemotongan dan pencantasan pokok di sepanjang jalan berkenaan.
Sehubungan dengan itu, pihak jabatan mengingatkan para pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati apabila melalui kawasan tersebut di samping mematuhi tanda-tanda lalu lintas dan had laju yang dibenarkan demi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini.
Sebarang aduan, orang ramai boleh menghubungi pihak jabatan melalui Talian Darussalam 123, Livechat 8333123 ataupun dengan menghantar e-mel ke pro@pwd.gov.bn.