Tuesday, July 15, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penutupan sementara stesen minyak untuk pemeriksaan

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Beberapa buah stesen minyak di tiga buah daerah dijadualkan ditutup sementara bagi kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian ke atas alat sukatan iaitu pam minyak bagi Jun 2025.

    Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam kenyataannya, menyatakan akan melaksanakan kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian bacaan ketepatan ke atas alat sukatan jenis pam minyak di stesen-stesen minyak.

    Menurut Unit SDT, langkah berkenaan adalah selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151, di mana pemeriksaan bacaan ketepatan, sah dan berdaftar dengan Unit SDT adalah dikehendaki ke atas penggunaan alat sukat dan timbang bagi tujuan perdagangan.

    Dengan mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan orang ramai serta para tenaga kerja yang terlibat sepanjang kerja pemeriksaan dan penelitian berkenaan, stesen-stesen minyak akan ditutup bermula pukul 9 pagi sehingga selesai, yang mana anggaran pelaksanaannya sekitar dua jam.

    Pemeriksaan dan penelitian ke atas stesen-stesen minyak itu adalah pemeriksaan rutin yang dikendalikan sebanyak tiga kali setahun.

    Sehubungan dengan itu, jadual penutupan sementara stesen-stesen minyak bagi Daerah Brunei Muara pada 4 Jun di Stesen Minyak Koperasi Perniagaan dan Perusahaan Melayu Berhad, 5 Jun di Stesen Minyak Ikatan Teluk Mewah, 9 Jun di Stesen Minyak Mabohai, 10 Jun di Stesen Minyak Bebatik, 11 Jun di Stesen Minyak Masjory, 12 Jun di Stesen Minyak Berakas, 14 Jun di Stesen Minyak 59 Berhad (Riverine Station Kampung Buang Sakar), 16 Jun di Stesen Minyak Badan Tanmiah dan 17 Jun di Stesen Minyak Koperasi Persatuan Tiba (KOTIBA), bagi Daerah Tutong pada 16 Jun di Stesen Minyak Kampung Keriam (PAKATAN Tutong) dan 17 Jun di Stesen Minyak Koperasi Persatuan Kampung Lubok Pulau (KOPEKLAP) Dengan Tanggungan Berhad serta bagi Daerah Belait pada 25 Jun di Stesen Minyak Koperasi SEPAKAT.

    Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi Unit Sukatan dan Timbangan melalui e-mel, sdt@mofe.gov.bn atau melalui talian 2334092.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda