Monday, May 12, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penutupan stesen kereta api lama jejas sumber pendapatan pemandu

    BANGKOK – Nasib yang tidak menentu menanti penjaja, pemandu dan gelandangan yang telah menjadikan bawah siling melengkung di stesen kereta api pusat Bangkok yang berusia berabad-abad tahun sebagai rumah kedua mereka.

    Tiang-tiang Itali yang elegan dan tingkap kaca berwarna di stesen Hua Lamphong tiada lagi bergema bunyi kereta api berterusan yang tiba dan berlepas dari stesen tidak lama lagi. Sebilangan besar perkhidmatan akan berpindah ke hab kereta api baharu di pinggir utara ibu kota akhir tahun ini, dengan rancangan untuk melancarkan perkhidmatan segera ke China melalui negara jiran Laos.

    Wabak koronavirus telah mengakibatkan penangguhan selama setahun untuk stesen sekarang, berhampiran daerah Chinatown, penggantinya hampir siap tetapi kini digunakan sebagai pusat vaksinasi. Tetapi sekatan pergerakan dan kekurangan pengunjung asing telah melumpuhkan ekonomi kerajaan yang bergantung kepada pelancongan dan puluhan orang yang mencari nafkah sudah merasa impaknya.

    “Kita harus berjimat, saya menggunakan simpanan saya untuk menampung perbelanjaan hidup,” kata Boonkerd Khampakdi, seorang penjaja yang menjual makanan kepada pelancong yang kelaparan di stesen sejak 20 tahun lalu. Wanita berusia 51 tahun itu memberitahu AFP dia kini hanya memperoleh 1,000 baht (AS$ 30) sehari, sepersepuluh daripada apa yang dia peroleh sebelum wabak dan hampir tidak dapat menampung sewa bulanan untuk gerainya. Di sekitarnya, pemandu tuk-tuk Wutthisak Inthawat menunggu dengan sabar untuk beberapa pelanggan yang mungkin melalui pintu masuk stesen. Dia mengatakan semakin sukar untuk menanggung kos sewa kenderaannya, membayar sewa dan menyara keluarganya.

    “Saya mempunyai dua orang anak perempuan yang masih kecil berusia tiga dan sembilan tahun,” kata Wutthisak, 34. “Sekiranya saya tidak dapat melunaskan hutang saya, saya harus kembali ke wilayah asal saya.”

    Para penumpang kereta api duduk di tempat menunggu di dalam stesen Hua Lamphong. – AFP
    Gambar bertarikh 27 Ogos 2021 menunjukkan Stesen Kereta Api Bangkok, yang lebih dikenali sebagai Hua Lamphong, di Bangkok. – AFP
    Gambar bertarikh 22 Jun 2021 menunjukkan orang ramai berbaris untuk mendapatkan vaksinasi COVID-19 di Stesen Grand Bang Sue yang baru dibina, yang akan menggantikan Stesen Hua Lamphong. – AFP
    Kelihatan pekerja memunggah barang bungkusan di stesen Hua Lamphong, Bangkok. – AFP
    Para pemandu teksi menunggu pelanggan untuk menaiki teksi mereka. – AFP
    Stesen Grand Bang Sue yang baru dibina yang akan menggantikan Stesen Kereta Api Hua Lamphong, sebagai terminal keretapi baharu, di Bangkok. – AFP

    ‘Hebat dan sederhana’

    Platform panjang dan suasana yang lengang di stesen Hua Lamphong telah lama menyemai perasaan cinta kepada perjalanan kereta api di Thailand. Ini merupakan kejayaan yang amat besar bagi arkitek Itali, Mario Tamagno, yang bekerja secara meluas di Thailand pada awal abad dan pelan bangunannya mendapat inspirasi dari stesen pusat Frankfurt di Jerman, yang dibina pada akhir abad ke-19.

    “Strukturnya sendiri sangat mengagumkan, dalam gaya neo-Renaissance dan penuh dengan hiasan dan kegemilangan dan sederhana dalam satu cara,” kata Dave Kendall, bekas hos rancangan TV pelancongan Destination Thailand.

    Kerja di terminal bermula pada tahun 1910 dan kereta api pertama memasuki stesen itu enam tahun kemudian. Air pancut yang kini menyambut pengunjung di pintu masuk utama stesen itu terletak di kawasan bunker bagi 100 orang dibina selepas pencerobohan Jepun ke Thailand semasa Perang Dunia Kedua, kata peminat kereta api tempatan Wisarut Bholsithi kepada AFP. Sebutir bom terkena bilik kebal semasa serangan udara tentera Bersekutu dan membunuh semua orang yang berlindung di dalamnya, tambahnya.

    Pada kemuncak pra-wabak, stesen itu mengendalikan 37 juta penumpang setiap tahun, menurut State Railway of Thailand. Pihak berkuasa merancang untuk menjadikan stesen itu sebagai muzium kereta api ditambah dengan ruang komersial sebagai cara untuk memelihara warisan bangunan itu. Perkara yang kurang jelas adalah mengenai masa depan komuniti kecil gelandangan yang tidur nyenyak di sekitar stesen, bergantung pada sumbangan dari sejumlah pelancong yang lalu untuk bertahan.

    “Sekarang ini saya tidak mempunyai cukup makanan untuk dimakan setiap hari. Saya minum air untuk menahan rasa lapar,” kata Nares Kaysao, yang telah kehilangan tempat tinggal sejak 20 tahun lalu.

    “Saya tidak tahu apa yang akan berlaku apabila tidak adanya penumpang.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda