BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Bagi melaksanakan kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian bacaan ketepatan ke atas alat sukatan jenis pam minyak di stesen-stesen minyak, beberapa buah stesen minyak akan ditutup buat sementara waktu.
Kenyataan media, Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) melalui Unit Sukatan dan Timbangan (SDT) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi, langkah berkenaan adalah selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151, di mana pemeriksaan bacaan ketepatan, sah dan berdaftar dengan Unit SDT adalah dikehendaki ke atas penggunaan alat sukat dan timbang bagi tujuan perdagangan.
Dengan mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan orang ramai serta para tenaga kerja yang terlibat sepanjang kerja pemeriksaan dan penelitian tersebut, stesen-stesen minyak akan ditutup bermula jam 9 hingga jam 11 pagi atau sehingga selesai, yang mana anggaran perlaksanaannya adalah sekitar dua jam.
Pemeriksaan dan penelitian ke atas stesen-stesen minyak ini adalah pemeriksaan rutin yang dikendalikan sebanyak tiga kali setahun.
Jadual penutupan sementara stesen-stesen minyak bagi kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian bacaan ketepatan pada bulan Mac, bagi Daerah Brunei dan Muara pada 6 Mac di Syarikat Stesen Minyak Persatuan TIBA, 8 Mac di Syarikat Stesen Minyak IBA, 10 Mac di Syarikat Stesen Minyak Pekan Muara, 11 Mac di Syarikat Stesen Minyak Amanah, 12 Mac di Syarikat Stesen Minyak Gadong, 13 Mac di Syarikat Stesen Minyak Koperasi Usahajaya Pekira Bhd, 15 Mac di Syarikat Stesen Minyak Hajah Badariah dan Anak-anak, dan 17 Mac di Syarikat Stesen Minyak Shahryza.
Sementara itu, bagi Daerah Belait pada 19 Mac di Syarikat Stesen Minyak Roxana, 20 Mac di Syarikat Stesen Minyak Koperasi Perniagaan dan Perusahaan Melayu, 24 Mac. Manakala bagi Daerah Tutong di Syarikat Stesen Minyak KODRAT Berhad (Koperasi Dataran Gong Tiga) dan pada 25 Mac di Syarikat Stesen Minyak Perusahaan Cahaya Pakatan Berhad.
Bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Unit SDT, IBE melalui e-mel Sdt@mofe.gov.bn atau talian 233 4092.
