CANBERRA – Lembaga Taman Negara Uluru-Kata Tjuta, Australia telah sebulat suara mengundi untuk menguatkuasakan larangan memanjat Uluru, batu terbesar di dunia yang juga merupakan destinasi ikonik di negara tersebut.
Keputusan muktamad itu diumumkan oleh lembaga itu yang terdiri daripada lapan pemilik tanah dan tiga wakil dari Taman Negara itu sendiri, baru-baru ini.
Aktiviti pendakian di kawasan berbatu tersebut yang dianggap sebagai kawasan yang suci di kalangan penduduk Anangu dan beberapa puak asli lain itu bakal disekat bermula pada Oktober 2019.
Pengunjung yang berhasrat untuk menerokai Uluru yang juga dikenali sebagai Ayers Rock telah dinasihatkan dengan lebih awal bahawa puak asli di kawasan tersebut kurang selesa sekiranya kehadiran mereka berniat untuk mendaki batu gergasi itu sejak beberapa dekad yang lalu
Namun aktiviti tersebut jelas masih tetap dibenarkan bagi memenuhi hasrat yang diinginkan oleh para pengunjung.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/M5-A_041117.jpg)
Pengerusi lembaga dan pemilik tapak bersejarah, Sammy Wilson menjelaskan dalam ucapannya bahawa tapak itu memiliki nilai budaya yang cukup istimewa dan tersendiri.
“Beberapa pihak dalam sektor pelancongan dan kerajaan misalnya ada yang mengatakan bahawa aktiviti di kawasan ini wajar untuk diteruskan namun perkara itu jelas bukan undang-undang yang ditetapkan oleh mereka terhadap kawasan tanah ini,” jelas Wilson.
“Ia setentunya merupakan sebuah tempat yang penting dan tidak wajar dianggap sebagai sebuah taman permainan atau taman tema seperti Disneyland,” tambah Wilson.
“Keputusan ini setentunya dilakukan bagi memelihara kepentingan Anangu dan bukan Anangu secara bersama sekaligus mewujudkan kesedaran akan pentingnya pemeliharaan tempat yang memiliki nilai budaya yang cukup istiemewa itu,”.
Larangan pendakian tersebut akan mula berkuatkuasa pada 26 Oktober 2019 sekaligus menandakan 34 tahun sejak pemilikan tapak dikembalikan semula kepada pemilik asalnya.
Mendaki kawasan berbatu yang teletak di kawasan lebih dari 1,500 kilometer di utara Adelaide, Australia itu mula giat dilaksanakan pada sekitar tahun 1930an dan pagar keselamatan pula hanya dibina pada tahun 1966.
Terdapat sekurang-kurangnya 36 rekod kematian berikutan daripada aktiviti pendakian di tapak tersebut sejak dari tahun 1950an dan 74 mangsa yang berjaya diselamatkan di antara tahun 2002 hingga 2009 pula harus menerima perubatan yang intensif demi mengekalkan tahap kesembuhan mereka.
Menurut data yang direkodkan oleh Taman Negara Australia, jumlah pengunjung yang mendaki Uluru pada tahun 2015 adalah pada sekitar 16.2 peratus di mana ia adalah menurun berbanding 38 peratus pada tahun 2010.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/M5-B_041117.jpg)
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/M5-C_041117.jpg)
Di bawah peraturan semassa, Lembaga Taman Negara Uluru-Kata Tjuta hanya boleh mengundi bagi membuat keputuasan untuk menutup kawasan batu gergasi itu bagi aktiviti pendakian sekiranya jumlah pelawat yang melakukan aktiviti semakin berkurang di bawah paras 20 peratus.
Pengarah Majlis Tanah Pusat, David Ross menyifatkan keputusan itu sebagai satu usaha yang baik dan sepatutnya telah lama dilaksanakan.
“Keputusan ini telah lama dirancang sejak dahulu lagi dan walaupun usaha larangan ini merupakan satu tindakan yang cukup baik namun ternyata ia dikira agak terlambat dalam mengambilkira bahawa individu generasi terdahulu yang cukup mendambakan pelaksanaan usaha ini sudah tiada untuk sama-sama meraikannya,” jelas Ross kepada Fairfax Media baru-baru ini.
Di samping itu, keputusan bagi pengharaman sebarang aktiviti pendakian itu mula disuarakan selepas selama berdekad puak asli Australia berasa tersinggung terhadap tindakan individu yang memilih untuk melaksanakan aktiviti pendakian mereka.
Tatkala larangan pendakian itu telah diumumkan, seramai tiga pelancong yang berjaya diselamatkan setelah tersesat dari laluan pendakian yang telah ditetapkan pada tahun 2016 tetap berhadapan dengan perbicaraan di mahkamah walaupun kes mereka masih ditangguhkan.
Dalam ucapannya, Wilson menjelaskan bahawa puak Anangu jelas berasa tertekan ketika laluan pendakian di kawasan berbatu tetap terus dibuka.
“Selama bertahun-tahun, puak Anangu tetap berasa takut, seolah-olah seorang yang mengacukan pistol ke arah wajah mereka ketika melihat tempat menarik itu kekal dibuka bagi aktiviti kepuasan pengunjung,” jelasnya.
“Tanah ini memiliki undang-undang dan budayanya yang tersendiri. Kami tetap menerima kunjungan pengunjung di tempat ini dan penutupan aktiviti pendakian ini bukan merupakan satu perkara yang wajar untuk disedihkan bahkan ia wajar untuk diraikan,” jelas Wilson. – Xinhua