Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penyakit jantung masih ancaman utama Malaysia

    LABUAN, 21 SEPT – Penyakit jantung kekal sebagai ancaman serius di Malaysia kerana penyakit itu masih menjadi punca utama kematian yang boleh dicegah, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Ismuni Bohari.
     
    Beliau berkata statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2024 menunjukkan penyakit jantung iskemik merupakan penyebab kedua tertinggi dalam kematian yang disahkan secara perubatan, iaitu sebanyak 15.1 peratus dan menjadi punca utama kematian dalam kalangan individu berusia 41 hingga 59 tahun, manakala lelaki lebih terjejas berbanding wanita.
     
    “Trend ini membimbangkan kerana bukan hanya menjejaskan kesihatan, tetapi juga memberikan impak kepada ekonomi negara,” katanya pada program Hari Jantung Sedunia di Labuan hari ini.
     
    Dr Ismuni berkata diabetes, hipertensi, kolesterol tinggi dan tekanan berpanjangan ialah penyumbang utama kepada penyakit jantung selain faktor merokok, obesiti, gaya hidup tidak aktif dan tabiat pemakanan tidak sihat.
     
    Beliau berkata Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 melaporkan bahawa 15.6 peratus dewasa menghidap diabetes, hipertensi (29.2 peratus), kolesterol tinggi (33.3 peratus), obesiti (21.8 peratus) dan merokok (19 peratus).
     
    “Setakat Ogos lepas, Labuan merekodkan 93 kes kardiovaskular baharu dan 1,388 pesakit sedang menerima rawatan penyakit jantung.
     
    “Angka ini adalah amaran untuk kita mengambil langkah pencegahan sebelum terlambat,” katanya.
     
    Beliau turut menggesa orang ramai supaya mengamalkan gaya hidup sihat, menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala dan menyertai aktiviti kesedaran.
     
    Dr Ismuni berkata sebanyak 3,877 penduduk di Labuan telah melakukan pemeriksaan kesihatan setakat bulan lepas.
     
    “Hari Jantung Sedunia tahun ini bertemakan Don’t Miss a Beat, menyeru rakyat Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan tabiat pemakanan lebih sihat demi melindungi jantung mereka,” katanya. – Bernama
     
    Dr Ismuni (dua kiri) semasa program Hari Jantung Sedunia di Labuan, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda