Thursday, October 24, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penyakit lembu jejas penternak di Libya

    MISRATA, 23 OKT – Di ladang Najmeddine Tantoun di pinggir bandar Misrata di barat Libya, bunyi deruan ratusan mesin pemerah susu telah berubah menjadi senyap.

    Petani itu telah kehilangan hampir separuh lembunya akibat wabak penyakit kaki dan mulut, penyakit yang amat mudah menular yang menjejaskan haiwan ternakan itu.

    Wabak di Libya telah memberikan kesan kepada kebanyakan penternak lembu, yang mengatakan mereka masih belum menerima vaksin untuk haiwan mereka ketika pengeluaran tenusu dan daging terjejas.

    Kebanyakan pendapatan negara Afrika Utara itu datang daripada sumber minyaknya, tetapi Misrata merupakan pusat tenusu utama yang sebelum ini menghasilkan 70,000 liter susu sehari.

    Pengeluaran kini telah menurun kepada 20,000 liter sehari, menurut Salem al-Badri, 45, ketua jawatankuasa penternak lembu di bandar itu.

    Tantoun, 27, berkata ‘masa depan kelihatan suram.’

    “Saya hampir kehilangan segala-galanya,” katanya. “Daripada 742 ekor lembu, kami kehilangan kira-kira 300. Penyakit ini memusnahkan mata pencarian kami.”

    Penyakit itu terutamanya memberi kesan kepada ternakan ruminan, seperti lembu, biri-biri dan kambing. Ia menyebabkan demam, lepuh dan kadang kala kematian.

    Di Misrata, beberapa penternak telah melaporkan kehilangan kira-kira 70 peratus lembu mereka akibat penyakit itu, menurut jawatankuasa Badri.

    “Kami sedang mengalami bencana,” kata Badri, yang juga bertanggungjawab ke atas pejabat kesihatan haiwan bandar itu, semasa lawatan ke ladang Tantoun.

    “Kelewatan vaksin telah merugikan kami,” tambahnya. “Kebanyakan lembu di Misrata kini dijangkiti dan kami tidak mempunyai pilihan selain menyembelihnya untuk menghentikan wabak berkenaan.”

    Penyakit itu juga telah menimbulkan masalah kewangan kepada pengguna kerana kekurangan bekalan mendorong harga da-ging dan produk tenusu naik. – AFP

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda