GENEVA, 12 DIS – Wanita muda dan budak perempuan Swiss dimasukkan ke hospital pada kadar ‘yang tidak pernah berlaku’ tahun lalu kerana isu kesihatan mental, kata pejabat statistik negara itu hari ini, sekali gus menandakan pandemik memberikan kesan besar ke atas kumpulan ini.
Buat pertama kalinya, gangguan mental meningkat pada 2021 sekali gus menjadi punca utama kemasukan ke hospital dalam kalangan orang muda berusia 10 hingga 24 tahun di Switzerland, mendahului kecederaan, kata Pejabat Statistik Persekutuan (FSO).
Masalah kesihatan mental dalam kalangan orang muda di Switzerland, seperti juga di tempat lain, telah meningkat, dengan kemasukan ke hospital kumpulan umur tersebut meningkat 3.4 peratus secara purata setiap tahun di antara 2012 dan 2019.
Namun tahun lalu, analisis FSO menandakan kenaikan sebanyak 26 peratus dalam kemasukan hospital budak perempuan dan wanita muda disebabkan isu mental dan tingkah laku.
“Peningkatan ini benar-benar tidak pernah berlaku sebelum ini,” beritahu Tania Andreani daripada jabatan kesihatan FSO, kepada AFP.
Budak perempuan berusia di antara 10 dan 14 tahun mencatat peningkatan paling dramatik, dengan kemasukan ke hospital bagi kumpulan ini meningkat 52 peratus.
Pada 2021, 2,015 budak perempuan – satu dalam setiap 100 budak perempuan dalam kumpulan umur ini di Switzerland – dimasukkan ke hospital dengan isu psikiatrik, menurut kajian. – AFP


