CONAKRY, 31 JAN – Penyakit tidur, sejenis penyakit parasit yang biasanya membawa maut tanpa rawatan, telah dihapuskan sebagai masalah kesihatan awam di Guinea, kata Institut Penyelidikan Perancis untuk Pembangunan (IRD) kelmarin.
Jangkitan yang dikenali sebagai Human African Trypanosomiasis (HAT) itu tersebar melalui gigitan lalat tsetse yang dijangkiti dan endemik di Afrika Sub-Sahara.
Parasite Trypanosoma memasuki sistem saraf pusat, menyebabkan simptom seperti perubahan tingkah laku, kekeliruan, koordinasi yang lemah dan gangguan kitaran tidur.
Guinea, yang masih mencatatkan kes penyakit ini, telah lama menjadi negara yang paling terjejas di Afrika Barat.
Menurut IRD, Guinea kini telah jatuh “di bawah ambang untuk penghapusan penyakit ini sebagai masalah kesihatan awam (kurang daripada satu kes setiap 10,000 penduduk di tiga kawasan endemik).”
Kenyataan itu yang ditandatangani bersama oleh NGO Drugs for Neglected Diseases Initiative (DNDi) dan Institut Pasteur di Guinea juga menambah bahawa Kementerian Kesihatan Guinea telah memperoleh pengesahan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk penghapusan HAT di negara tersebut pada tahun 2024, dengan hanya 12 kes HAT yang didiagnosis.
Pencapaian itu dicapai melalui kawalan lalat tsetse yang dipertingkatkan, saringan besar-besaran, kempen kesedaran dan pembangunan ubat-ubatan baharu yang selamat dan berkesan, kata kenyataan tersebut. Pengumuman itu bertepatan dengan World Neglected Tropical Diseases Day.
Perdana Menteri Guinea, Amadou Oury Bah, dalam satu sidang media berkata kerajaan menerima baik pengiktirafan WHO itu bagi pihak Ketua Junta Pemerintah, Jeneral Mamady Doumbouya.
Sementara itu, ahli ekologi-epidemiologi IRD, Jean-Mathieu Bart dan ahli genetik Bruno Bucheton menegaskan usaha perlu diteruskan bagi memastikan penularan penyakit itu dapat dihentikan sepenuhnya menjelang 2030. – AFP