Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penyalaan lampu kuning keemasan peringati jasa warga emas

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas (HAWE) 2025 kali ke-22 yang diraikan pada 1 Oktober setiap tahun akan diserikan dengan penyalaan lampu berwarna kuning keemasan di beberapa lokasi utama di Negara Brunei Darussalam.

    Sebagai usaha menyokong dan memeriahkan sambutan berkenaan, lampu berwarna kuning keemasan akan dinyalakan di Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS) dan Bangunan Stadium Negara Hassanal Bolkiah selama dua malam, bermula 30 September hingga 1 Oktober, dari jam 7 malam hingga 12 tengah malam.

    Inisiatif tersebut bertujuan memperingati jasa-jasa warga emas dalam menyumbang kepada pembangunan negara, di samping sebagai tanda penghormatan dan penghargaan kepada golongan berkenaan.

    Warna kuning keemasan dipilih sebagai warna tema rasmi sambutan bagi menggambarkan warga emas yang meniti usia emas, serta melambangkan kekayaan pengalaman dan sumber pengetahuan mereka yang wajar dijadikan panduan hidup oleh generasi muda.

    Sebagai tanda sokongan, orang ramai digalakkan untuk mengambil gambar lokasi-lokasi yang diterangi cahaya kuning keemasan dan memuat naiknya ke media sosial dengan menggunakan tanda pagar #HAWE2025.

    Melalui inisiatif ini, masyarakat diharap dapat menzahirkan kesedaran terhadap kepentingan menghargai, melindungi dan menyokong warga emas, sekali gus memperkukuhkan kesejahteraan mereka dalam aspek kekeluargaan dan kehidupan seharian.

    Gambar Freepik

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda