Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Sebagai usaha untuk menyokong dan memeriahkan lagi sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas (HAWE) 2024 yang disambut pada setiap 1 Oktober, Negara Brunei Darussalam akan menyalakan lampu berwarna kuning keemasan.
Penyalaan lampu itu akan dilaksanakan di beberapa tempat iaitu di Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS), bangunan HAB Tenaga Brunei Dermaga Diraja dan bangunan Stadium Negara Hassanal Bolkiah bermula hari ini hingga esok pada pukul 7 malam hingga 12 tengah malam.
Penyalaan lampu di Jambatan SHOAS dan bangunan-bangunan ikonik tersebut adalah untuk memaparkan warga emas yang meniti usia emas dan warga emas kaya dengan pengalaman dan sumber pengetahuan yang dapat dimanfaatkan oleh generasi muda sebagai panduan cara hidup.
Justeru itu, orang ramai adalah dijemput untuk mengambil gambar jambatan dan memuatnaik ke dalam media sosial dengan menggunakan hashtag #HAWE2024 atau #IDOP2024.